Pemain perlu berikan segalanya untuk tewaskan JDT - Nafuzi
KEDAH Darul Aman (KDA) FC tetap memasang impian untuk mara ke final Piala FA 2024-2025 biarpun berdepan saingan sukar juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada separuh akhir kedua, malam Ahad.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, semua pemain Sang Kenari perlu memberikan segala-galanya biarpun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Menurutnya, tiada istilah mustahil untuk memadam kelebihan tuan rumah yang menang 2-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman pada 19 Julai lalu.
"Apa yang kami perlu lakukan adalah mencuba dengan sebaik mungkin, menggandakan lagi usaha dan perlu mengatasi kelebihan lawan yang beraksi di laman mereka sendiri.
"Kami tidak boleh hanya bertahan kerana untuk layak ke final, kami perlu menjaringkan gol untuk mendapatkan kemenangan. Kami perlu beri segalanya yang kami ada pada perlawanan penting ini," katanya.
KDA FC tampil ke gelanggang lawan tanpa tiga tonggak utamanya iaitu Rizal Ghazali dan Sukhrob Nurullaev yang cedera manakala Syafiq Ahmad pula berstatus pemain pinjaman.
Jelas Nafuzi, kehilangan pemain-pemain itu diakui sedikit menjejaskan corak permainan pasukan namun percaya pemain lain mampu mengalas tanggungjawab tersebut.
"Kita selangkah untuk mara ke final dan menjadi impian semua pemain dan pasti mereka akan memberikan segala-galanya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!