JAIPk diarah beri penjelasan isu lawat kuil

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarah memberi penjelasan bagi membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan yang timbul berhubung video tular lawatan agensi itu ke sebuah kuil di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas bersama JAIPk, Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Menurutnya, beberapa ketetapan telah dibuat bagi menangani isu tersebut hasil mesyuarat yang diadakan dan setelah disembah serta mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"JAIPk juga diarahkan untuk mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam.

"Selain itu, JAIPk diminta supaya mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlebih dahulu sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa hadapan selain berunding bagi menggunakan modul, kaedah atau pendekatan yang lebih sesuai," katanya di sini pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, kerajaan negeri mahu semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan mengambil iktibar daripada isu tersebut supaya lebih berhati-hati memastikan tiada kenyataan dalam sosial media yang dibuat tanpa pemantauan, apatah lagi jika menyentuh sensitiviti agama.

"Polemik tersebut menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan umat Islam sehingga menjejaskan reputasi dan nama baik kerajaan negeri serta pihak-pihak berkuasa agama Islam.

"Dengan ini ditegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip 'maqasid syariah' dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Perak juga meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi juga dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!