SSMT rangkul juara tewaskan skuad takraw Thailand
SEKOLAH Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) menamatkan penantian emas apabila menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan sepak takraw melibatkan 20 buah sekolah.
Ketua jurulatih pasukan, Mohd Faisal Muhamad berkata, perlawanan tersebut berlangsung sempena Thailand Sports School Games 2024, Trang Games pada 19 hingga 31 Julai lalu.
Menurutnya, acara berpasukan bawah 16 tahun itu menyaksikan laluan cerah SSMT apabila menewaskan pasukan tuan rumah, Sports School Nahon Phatom dengan kemenangan 2-1.
"Pasukan kita dapat menewaskan Sports School Nahon Phatom dengan kemenangan 2-1 pada peringkat separuh akhir.
"SSMT mara ke final dengan menumpaskan juara bertahan Sports School Supanbhuri dengan mencetak mata 2-1 sekali gus memastikan emas menjadi milik Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas Mohd Faisal, kejayaan dilakar itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan pasukan tuan rumah memiliki keupayaan dan kekuatan yang ada pada tekong dan barisan penyerang.
Tambah beliau, kejayaan dilakar membolehkan pasukan itu MSNT mengulangi sejarah 2019 dan mencipta sejarah baharu dengan kutipan dua emas, satu perak dan dua gangsa.
"Kejayaan dilakar SSMT membuktikan negara tidak ketandusan pemain di peringkat akar umbi dan di peringkat pembanguanan serta peringkat kebangsaan.
"Kita bersyukur kerana SSMT dapat bermain dengan baik dan memberikan komitmen unggul," ujarnya yang dibantu penolong jurulatih, Muhamad Zulhilmi Mahusin.
Sementara itu, katanya, kategori berpasukan B14 SSMT pula hanya berpuas hati pingat gangsa selepas tewas kepada Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail 0-2.
Katanya, bagi kategori U18 layak mara ke suku akhir dengan mengambil tempat sebagai johan kumpulan namun pada peringkat separuh akhir pasukan itu tewas kepada Sports School Suphanburi 2-1.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!