Kereta terbabas dikejar polis, lelaki ditahan bersama lebih 111 kg ganja
KUANTAN - Polis menahan seorang lelaki bersama lebih 111 kilogram ganja selepas kereta dinaiki terbabas akibat tayar pecah berhampiran sebuah medan selera di Sungai Ular di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari berkata, dadah yang dirampas daripada suspek berusia 49 tahun itu dianggarkan bernilai lebih RM359,000.
Menurutnya, tangkapan ke atas suspek dilakukan kira-kira jam 9.45 pagi.
"Suspek kini ditahan reman sehingga 8 Ogos depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Kejayaan tangkapan dan rampasan dadah itu sebelum ini dikongsi melalui Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Berdasarkan kenyataan itu, anggota kereta peronda EMPV Timur 4 yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di Kilometer 267 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menahan kereta jenis Honda dipandu suspek untuk pemeriksaan.
"Suspek diarahkan keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan di bahagian but kenderaan.
"Bagaimanapun lelaki itu bertindak nekad memecut kenderaan menuju ke arah Plaza Tol Jabor dan merempuh palang tol sebelum masuk ke Jalan Sungai Ular," jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, anggota EMPV Timur 4 telah mengekori kenderaan tersebut dan memohon bantuan anggota Timur 3 di lapangan.
"Suspek enggan berhenti terus melarikan diri sebelum kereta dipandu terbabas berhampiran medan selera Sungai Ular akibat tayar pecah.
"Suspek cuba melarikan diri namun cubaannya gagal apabila berjaya ditangkap," jelasnya.
Tambahnya lagi, pemeriksaan lanjut di bahagian but membawa kepada penemuan kotak berisi ketulan ganja mampat.
"Suspek bersama dadah dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!