Usahawan Haris Embong akui tak menyesal bantu Rafidah Ibrahim

Haris (kiri) mengakui tidak menyesal membantu pelakon, Rafidah Ibrahim (kanan) mendapatkan pekerjaan ketika negara berdepan fasa pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.
Haris (kiri) mengakui tidak menyesal membantu pelakon, Rafidah Ibrahim (kanan) mendapatkan pekerjaan ketika negara berdepan fasa pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.
A
A
A

PENGASAS Arisprop Holdings Sdn Bhd, Datuk Haris Embong mengakui tidak menyesal membantu pelakon, Rafidah Ibrahim mendapatkan pekerjaan ketika negara berdepan fasa pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.

Usahawan produk sejuk beku Aris Burger itu berkata, walaupun sudah memenangi kes saman fitnah terhadap Rafidah selaku defendan, perkara terbabit boleh dijadikan sebagai pengalaman dan pengajaran buatnya.

Menurutnya, beliau tetap berpegang kepada objektif utama dalam mengemukakan tuntutan iaitu mahu memulihkan reputasi peribadi dan jenama syarikat, bukannya menghukum defendan.

“Saya memang tak nak perkara ini berlaku. Selepas artikel diterbitkan Rafidah pada Ogos 2021, saya ada hubungi minta turunkan hantaran, tetapi dia suruh berhubung dengan peguam.

“Untuk bertanya soal serik atau tidak, saya tak serik dan tiada masalah, artis pun bukan semuanya tak baik. Kita tak boleh nak menghukum seseorang itu berdasarkan kedudukannya.

“Kita juga tidak letak apa-apa tuntutan dari segi pembayaran kerana ia bergantung kepada penilaian mahkamah, terpulang kepada defendan sendiri mahu bayar macam mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bertempat di RE Kitchen, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, peguam korporat kumpulan syarikat berkenaan, Datuk Mohd Hifdzi Hamzah dari Tetuan Hifdzi Kee Hanisah & Co; ahli Lembaga Pengarah Arisprop Holdings, Ismail Taib dan peguam yang menguruskan kes saman fitnah, Foo Hong Chuen mewakili Tetuan Izral Partnership.

Artikel Berkaitan:

Pada 31 Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee memutuskan bahawa Rafidah bersalah atas dakwaan memfitnah Arisprop Holdings Sdn Bhd dan pengasas syarikat itu sendiri.

Susulan itu, Rafidah diarah membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada plaintif pertama (Haris) dan RM150,000 untuk plaintif kedua (Arisprop Holdings), malah perlu membayar kos RM30,000 bagi kedua-dua plaintif.

Faedah pada kadar lima peratus setahun juga dikenakan bermula dari tarikh penghakiman menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan adalah RM280,000.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang defendan sama ada melalui dirinya sendiri, kakitangan dan ejennya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan perkataan bersifat fitnah terhadap kedua-dua plaintif.

Tuntutan balas dikemukakan defendan terhadap kedua-dua plaintif antaranya wang sebanyak RM4,000 bagi gaji tertunggak bulan Ogos 2021 dan kos kemudahan sebanyak RM3,550 yang dipersetujui dalam kontrak pelantikan defendan, namun ditolak.

Dalam perkembangan lain, Haris memberitahu, pihaknya akan menerbitkan sebuah filem genre seram bertajuk ‘Batik Lepas’ yang dibarisi pelakon handal seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Azira Shafinaz, Fauziah Nawi dan ramai lagi.

“Lokasi penggambaran akan dijalankan di sekitar Terengganu bermula awal Januari tahun depan,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!