Isteri, anak-anak penguat semangat kembali bangkit
KUALA LUMPUR - Air mata isteri serta anak-anak menjadi penguat buat Muhamad Hafiz Abdul Halim, 35, kembali bangkit memulakan kembali perniagaan makanan yang pernah diuji dengan kegagalan.
Anak jati Negeri Sembilan itu berkata, pengalaman ditipu rakan niaga di Kedah pada tahun lalu menjadi titik hitam yang dianggap paling mencabar sepanjang 14 tahun menceburi bidang itu.
Graduan bidang kulinari itu berkata, dia hampir sahaja mahu melupakan terus bidang itu dan beralih kepada pekerjaan makan gaji namun sokongan keluarga membuatkannya menguatkan diri kembali bangkit.
"Hampir sebulan juga saya hilang arah sebelum bangkit semula. Dengan bantuan modal RM1, 700 daripada ibu mentua, saya mula berniaga di bazar Ramadan untuk menyara keluarga.
"Alhamdulillah, menu nasi Arab 'lamb shank' yang diusahakan diterima ramai.
"Bertitik tolak daripada itu, saya kembangkan perniagaan dengan menyewa kedai untuk meneruskan perniagaan itu di Kampung Tengah Puchong yang kini memasuki bulan ketiga," kongsinya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, kedai diberi nama 'Nasi Arab Tambah Kira Halal' itu semakin diterima pelanggan susulan menawarkan menu nasi arab dengan
seekor ayam untuk hidangan sehingga enam orang makan dengan harga RM35 sahaja.
"Memandangkan kos lamb shank agak mahal dan tidak semua orang makan kambing jadi kami turut tawarkan nasi Arab ayam seekor sebagai pilihan.
"Kalau lamb shank RM37 untuk dua orang makan tetapi nasi Arab seekor ayam ini boleh makan sekeluarga, ia secara tidak langsung membantu meringankan kos sara hidup bagi golongan kurang mampu," katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata, jualannya boleh mencecah sehingga 150 pek sehari pada hari biasa manakala permintaan naik sekali ganda pada Sabtu dan Ahad.
"Biasanya nasi Arab bukan semua mampu makan sebab harganya agak mahal, namun kami mahu ubah persepsi itu dengan menawarkan harga berpatutan supaya dapat sama-sama membantu menjimatkan kos bagi golongan kurang mampu.
"Ramai yang datang makan di kedai dan ada juga tempahan menggunakan khidmat penghantaran MISI yang kini permintaan bukan hanya dari Puchong tetapi juga dari Shah Alam dan Klang," kongsinya.
Menurutnya, mengambil pengajaran lalu, dia kini lebih berhati-hati dalam mencari rakan kongsi dan lebih selesa untuk berusaha di atas kaki sendiri.
"Sebelum ini saya terlalu percayakan orang sehingga bisnes yang dijalankan diambil orang dan menyebabkan saya tinggal sehelai sepinggang.
"Jika sebelum ini kurang yakin untuk bergerak sendiri, tapi selepas jatuh bangun dalam perniagaan menyebabkan saya lebih selesa untuk berusaha sendiri mengelak daripada ditipu lagi," katanya.
Ujarnya, perniagaan yang semakin berkembang kini dalam fasa berpindah ke lokasi baharu berhampiran kawasan sedia ada yang lebih selesa tanpa menimbulkan aduan dan kacau ganggu.
"Insya-ALLAH, kami akan berpindah ke lokasi baharu bulan depan dan kami akan kemas kini di platform media sosial kami dari masa ke masa," katanya.
Nasi Arab Tambah Kira Halal beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 12 tengah hari sehingga jualan habis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!