Tiada jemputan Himpunan solidariti Palestin setakat ini - Ahmad Fadhli

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang jemputan kepada pemimpin pembangkang untuk turut serta dalam Himpunan Solidariti Palestin yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang jemputan berhubung perhimpunan tersebut.

"Setakat ini tiada jemputan, jika ada pun saya tidak dapat hadir kerana berada di Qatar mewakili Pas dan PN bagi menghadiri majlis pengebumian Ismail Haniyeh.

"Tahniah kerajaan kerana menganjurkan himpunan tersebut namun jangan bersikap talam dua muka dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin," ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum itu, buat kali kedua, kerajaan akan menganjurkan satu lagi perhimpunan solidariti untuk Palestin.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, Kabinet pada Khamis bersetuju himpunan bermula jam 8 malam itu diadakan bagi menyatakan sokongan rakyat negara ini tanpa mengira ideologi politik.

Menurutnya, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dijangka hadir dan kerajaan menjemput pelbagai pihak hadir memberi sokongan.

Perhimpunan itu membuka ruang semua pihak hadir dan bersama berikan solidariti.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 Oktober lalu, Himpunan Malaysia Bersama Palestin juga telah diadakan di Stadium Axiata Arena bagi menyatakan sokongan kepada negara berdepan serangan rejim Israel.

Dalam masa sama, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan maritim antarabangsa (Rimpac) bersama negara Israel dan Amerika Syarikat.

"Kenapa kerajaan membenarkan perkara tersebut dalam keadaan pembantaian sedang berlaku di Gaza?

"Kerajaan juga masih tidak berhasrat untuk batalkan rundingan pembelian Malaysia Airport Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang mempunyai kaitan dengan Blackrock.

"Bukti yang jelas bahawa kerajaan hanya pandai melaungkan retorik semata-mata," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!