Banci Pertanian 2024: Input majukan tanaman padi di Kedah

Mohd Uzir (kiri) melihat dron yang digunakan oleh petani untuk menabur baja dan racun dalam aktiviti tanaman padi di Kampung Masjid, Kubang Rotan, Alor Setar pada Jumaat.
Mohd Uzir (kiri) melihat dron yang digunakan oleh petani untuk menabur baja dan racun dalam aktiviti tanaman padi di Kampung Masjid, Kubang Rotan, Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Dapatan Banci Pertanian 2024 akan menjadi input utama dalam mengurus dan memajukan aktiviti penanaman padi di Kedah yang dikenali sebagai jelapang padi negara.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bancian yang diadakan di negeri ini telah melepasi 34 peratus meliputi 19,700 tempat kediaman (TK) pertanian yang sudah dilawati dan percaya proses itu akan selesai dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Banci berkata, maklumat yang tepat dan terperinci daripada pelbagai aspek seperti pengurusan tanah, perancangan kewangan, pengoptimum hasil, penggunaan mekanisasi hingga latihan kepada petani dapat ditangani dengan lebih efektif.

“Dapatan banci ini akan menjawab permasalahan yang dihadapi dalam sektor pertanian seperti isu-isu yang membabitkan teknologi sedia ada. Adakah akses, bantuan ataupun sokongannya mencukupi.

“Dalam masa sama kita boleh mengenal pasti berapa peratus orang tua ataupun orang muda dalam penerimaan teknologi ini,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja lapangan Banci Pertanian 2024 di Kampung Masjid, Kubang Rotan, di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kamarudin Dahuli, Timbalan Pesuruhjaya (Teknikal) Banci Kedah, Nadia Marzuki dan pemilik syarikat Saez Maju Enterprise,Sayadid Saffie.

Penggunaan teknologi seperti dron yang digunakan dalam penanaman padi antara elemen yang dilihat Banci Pertanian 2024.
Penggunaan teknologi seperti dron yang digunakan dalam penanaman padi antara elemen yang dilihat Banci Pertanian 2024.

Jelas Mohd Uzir lagi, Banci Pertanian 2024 yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini telah memasuki hari ke-27 sejak ia mula dijalankan pada 7 Julai di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, banci yang dijalankan ini merangkumi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan serta perhutanan dan pembalakan.

“Alhamdulillah hari ini adalah hari ke-27 bancian dilakukan di seluruh negara. Prestasi bancian yang telah dimulakan sejak Julai lalu di seluruh negara telah mencapai hampir 30 peratus.

“Kita jangka prestasi ini membolehkan hasrat kita untuk menyelesaikan proses pembancian ini dalam tempoh tiga bulan iaitu pada Oktober dapat kita capai,” ujarnya.

Bagi negeri lain pula TK yang telah dilawati seperti Johor mencapai 31.4 Kelantan (19.3 peratus), Melaka (22.9 peratus), Negeri Sembilan (28.7 peratus), Pahang (29.3 peratus), Pulau Pinang (39.7 peratus) dan Perak (22 peratus).

Perlis pula mencapai 30.2 peratus, Selangor (33.6 peratus), Terengganu (34 peratus), Sabah (28.8 peratus), Sarawak (23.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan (31.9 peratus).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!