JAIPk akan kaji semula modul, pelaksanaan kursus

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus bagi mencegah kontroversi susulan penyebaran klip video lawatan di sebuah rumah ibadat bukan Islam di ibu negara, Selasa lalu.

JAIPk dalam kenyataan memaklumkan bahawa satu garis panduan khusus akan ditetapkan kepada peserta yang menyertai program dakwah yang dianjurkan pihaknya pada masa hadapan.

"Jabatan ini mengambil maklum mengenai arahan dan beberapa ketetapan yang dibuat kerajaan negeri setelah mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya isu tersebut ditangani segera bagi mengelakkan ia terus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

"Pihak JAIPk juga akan berbincang dengan para pemegang taruh serta pihak-pihak berkuasa agama Islam yang lain termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah yang lebih sesuai," katanya di sini pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, lawatan melibatkan 32 peserta terpilih itu merupakan salah satu modul kursus bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah.

Tambahnya, ia juga sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan peserta dalam menyampaikan dakwah terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam termasuk kebencian akibat sentimen Islamphobia.

"Bagaimanapun, lawatan berkenaan bertukar menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan salah seorang peserta wanita yang telah menimbulkan salah faham sehingga mengundang perdebatan hangat di laman media sosial.

"Jabatan ini terpanggil untuk menjelaskan bahawa wanita berkenaan bukan pegawai atau kakitangan JAIPk seperti yang didakwa, sebaliknya merupakan salah seorang peserta yang mengikuti kursus berkenaan secara sukarela," katanya.

Artikel Berkaitan:

JAIPk berkata, pihaknya memohon maaf kepada semua pihak terutama umat Islam atas kontroversi yang timbul itu hingga menimbulkan salah faham selain menjejaskan nama baik kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama.

Tambahnya, JAIPk tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip-prinsip maqasid syariah yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Terdahulu, tular klip video menunjukkan peserta program anjuran JAIPk mengadakan lawatan ke sebuah kuil.

Dalam video itu, seorang peserta berkongsi pendapatnya bahawa terdapat banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan warganet.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!