GRS nafi PBS, STAR bertanding solo PRN17
KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) merancang untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai menegaskan kedua-dua parti itu kekal komited bekerjasama sebagai satu pasukan untuk berhadapan dengan PRN akan datang.
"Ini adalah tindakan terdesak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan GRS kerana sokongan yang semakin meningkat untuk parti-parti tempatan meneruskan kepimpinan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas tular satu video yang dihasilkan menerusi keratan berita palsu yang mendakwa PBS dan STAR merancang untuk bertanding secara bersendirian.
Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyunting tajuk berita untuk mencipta naratif palsu.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan dakwaan ini sebagai langkah strategik pihak pembangkang dengan niat tersembunyi untuk menimbulkan perselisihan di kalangan parti komponen GRS.
"Jelas bahawa parti tertentu sejak kebelakangan ini, bertindak melampau menyebarkan berita palsu, dakwaan tidak berasas dan tuduhan terhadap GRS serta kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus.
Jelas Joniston lagi, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS sentiasa mengadakan pertemuan dengan parti komponen dan ini bukti hubungan antara semua pihak dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, tambah beliau adalah menjadi perkara biasa bagi setiap parti menyatakan minat untuk bertanding sebanyak mana kerusi yang diinginkan.
"Namun pada akhirnya ia juga perlu dibincangkan dan diputuskan apabila tiba masanya nanti.
"Kerana apa yang penting adalah memastikan kemenangan besar untuk GRS sebagai antara objektif utama memorandum persefahaman yang dimeterai oleh PBS dan STAR," katanya.
Joniston kekal dengan pendirian bahawa GRS tidak akan terganggu dengan dakwaan yang tidak berasas itu.
"Fokus kami adalah untuk memberikan tadbir urus yang baik dan pembangunan untuk rakyat Sabah.
"Jadi, penyokong dan orang ramai diharap tidak mempercayai maklumat palsu dan terus menyokong GRS yang berusaha untuk menegakkan kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!