Belanjawan 2025: KDN tumpu aspek kebajikan, pemerkasaan aset
PUTRAJAYA - Aspek kebajikan dan pemerkasaan aset pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadi keutamaan menerusi Belanjawan 2025.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan itu seiring dengan tanggungjawab kementerian yang menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
"Kebajikan adalah aspek yang saya tekankan pada bajet tahun lepas (Belanjawan 2024) dan saya akan teruskan lagi (tahun 2025).
"Tahun lepas kami berjaya memulihkan hampir 151 pos hadapan PGA (Pasukan Gerakan Am), sejumlah kuarters dengan memanfaatkan peruntukan sekitar RM300 juta, kemudian menyelesaikan isu perumahan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah).
"Saya akan kekalkan momentum, memberi dan mengangkat keutamaan kepada MOF (Kementerian Kewangan) supaya ia dapat dikekalkan kerana aspek ini penting, mampu meningkatkan moral dan motivasi anggota-anggota keselamatan di bawah KDN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 bersama pemegang taruh KDN di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu Saifuddin Nasution memaklumkan, KDN juga akan meningkatkan keupayaan aset Agensi Kawalan Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA).
Sebagai agensi baharu, beliau menjelaskan, pihaknya perlu merangka belanjawan yang sesuai dengan operasinya dalam fasa pertama yang digerakkan sejak Mei lalu.
"Kami akan memberi tumpuan khusus kepada menguatkan MCBA supaya tahun pertama menyaksikan sekurang-kurangnya selesai dari segi perjawatan dan keupayaan aset.
"Ini kerana ada beberapa pintu masuk yang menjadi projek perintis selain daripada Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
"Esok (Sabtu), saya dan Perdana Menteri akan berada di Rantau Panjang-Golok yang juga antara pintu masuk projek perintis MCBA, dan akan dibincangkan dalam pertemuan bilateral bersama Perdana Menteri Thailand," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!