Usah normalisasikan penjajahan alaf baharu

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Generasi kini harus memahami erti kemerdekaan sebenar bagi mengelak dijajah dalam bentuk alaf baharu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penjajahan alaf baharu datang dalam bentuk pemikiran dan bukan lagi secara fizikal.

Menurutnya, sekiranya leka dan menormalkan bentuk penjajahan tersebut, ia akan menjajah pemikiran tanpa kita sedari sehingga menjadi kebiasaan dalam kehidupan.

Muhammad Sanusi mengagihkan Jalur Gemilang kepada peserta konvoi.
Muhammad Sanusi mengagihkan Jalur Gemilang kepada peserta konvoi.

“Perkara ini perlu difahamkan kepada generasi sekarang. Kenapa perlu pertahankan kemerdekaan? Sebabnya, penjajahan tidak lagi dalam bentuk ketenteraan, tetapi dalam bentuk pemikiran seperti menerusi kepimpinan,” katanya selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang dan pelepasan konvoi Jiwa Merdeka di Wisma Darul Aman.

Konvoi Jiwa Merdeka diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri, melibatkan 10 buah basikal dan kenderaan mengibarkan Jalur Gemilang menjelajah 12 daerah di negeri ini.

Muhammad Sanusi berkata, rakyat hendaklah peka dengan sebarang cubaan untuk menghakis kuasa, merencatkan ekonomi atau menguasai negara melalui apa cara sekalipun.

“Kita tidak boleh biarkan ada satu kuasa lain yang menentukan nasib kita. Kita sendiri yang harus betulkan nasib kita.

Artikel Berkaitan:

“Kemerdekaan bererti kita bebas daripada belenggu penjajahan. Itu secara fizikal. Kita yang harus uruskan sendiri pentadbiran negara kita, menentukan sendiri hala tuju kehidupan rakyat tanpa sebarang campur tangan pihak luar,” katanya.

Menurutnya lagi, jangan dibiarkan penjajahan alaf baharu dinormalisasikan kerana ia juga datang menerusi media massa, media sosial, teknologi komunikasi selain pengaruh-pengaruh luar.

“Generasi kini dan akan datang mesti diberikan kesedaran. Kalau lah pemikiran berjaya dibentuk asalkan hidup senang, tak kisah walaupun ekonomi, politik dikuasai orang lain. Itulah (kembali) kepada zaman penjajahan.

“Jangan biasakan normalisasikan kehidupan ‘tak kisah’ dengan apa yang berlaku. Tak ada perasaan cinta pada negara selagi boleh hidup, boleh makan, pergi kerja, balik rumah, itu sudah cukup. Itulah normalisasi, hilanglah rasa cinta kepada tanah air,” ujarnya.

Muhammad Sanusi (dua dari kiri) melepaskan kenderaan konvoi Jiwa Merdeka yang akan menjelajah ke 12 daerah di negeri ini.
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) melepaskan kenderaan konvoi Jiwa Merdeka yang akan menjelajah ke 12 daerah di negeri ini.

Muhammad Sanusi berharap setiap rakyat meningkatkan rasa cinta kepada negara setiap kali menyambut kemerdekaan.

“Kena faham, kena sedar, kena fiqah, barulah kita sama-sama akan pertahankan apa yang telah kita kecapi walaupun sudah lama merdeka sejak 1957.

“Hargai keamanan negara, jadikan penderitaan di Palestin sebagai pengajaran apabila kemerdekaan hilang atau dirampas. Bersungguhlah pertahankan tanah air kita,” katanya lagi.

Muhammad Sanusi tegaskan, menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memelihara kedaulatan tanah air daripada ancaman dalaman mahupun luaran.

“Jika bukan kita, siapa lagi akan peduli? Semangat cintakan tanah air perlu lahir dari dalam masyarakat, ia perlu sentiasa disuburkan pelbagai kaum terutama mereka yang mendakwa negara ini milik kita bersama,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!