Jenazah ADUN Mahkota selamat dikebumikan

Ahli keluarga, saudara mara dan sahabat yang menghadiri pengebumian jenazah Allahyarham Sharifah Azizah di Tanah Perkuburan Islam Raudahtul Sakinah Kampung Tengah pada Jumaat.
Ahli keluarga, saudara mara dan sahabat yang menghadiri pengebumian jenazah Allahyarham Sharifah Azizah di Tanah Perkuburan Islam Raudahtul Sakinah Kampung Tengah pada Jumaat.
A
A
A

KLUANG - Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudahtul Sakinah Kampung Tengah, di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, jenazah dibawa dari Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) ke rumah Allahyarham di Jalan Ahmad Khan, di sini untuk disembahyangkan.

Jenazah sekali lagi disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Tengah sebelum dikebumikan kira-kira 5.25 petang.

Dianggarkan 500 ahli keluarga, rakan seperjuangan dan masyarakat setempat hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday; bekas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique serta Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Rabu lalu, akhbar melaporkan Sharifah Azizah, 64, dimasukkan ke HEBHK selepas mengalami pendarahan dalaman sebelum menghembus nafas terakhir pada jam 12.25 tengah hari tadi.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor, dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah merupakan ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.

Artikel Berkaitan:

Beliau adalah anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang merupakan bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990.

Allahyarham Sharifah Azizah meninggalkan empat anak iaitu Wan Mohd Hibatullah, 40; Wan Mohd Hazwan, 39; Wan Mohd Hasbullah, 34; dan Wan Harizahtul Nadia, 33, serta 13 cucu.

Suami Allahyarham, Abu Bakar Mohd Amin meninggal dunia pada 2005 akibat kanser limfoma.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!