[VIDEO] Terlalu awal umum kekosongan kerusi DUN Mahkota - Puad Zarkashi
KLUANG - Masih terlalu awal untuk mengumumkan kekosongan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Jumaat.
Speaker DUN Johor, Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya akan memaklumkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Ahad ini.
"Untuk menghormati keluarga Allahyarhamah yang baru mninggal dunia, saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan tentang kerusi DUN Mahkota.
"Kita dukacita kehilangan beliau apatah lagi saya pun pernah bersama-sama dengannya sebagai Ahli Dewan Negara.
"Apa pun, saya akan keluarkan kenyataan esok atau lusa," katanya.
Mohd Puad berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri pengebumian Allahyarhamah di Pusara Raudathul Sakinah Kampung Tengah, di sini, petang Jumaat.
Sharifah Azizah, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini pada jam 12.32 tengah hari Jumaat.
Sharifah Azizah merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Johor (2015-2018).
Beliau menang kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
Sebelum itu, Sharifah Azizah juga merupakan ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu.
Sharifah Azizah meninggalkan empat cahaya mata, Wan Mohd Hibatullah, 40, Wan Mohd Hazwan, 39, Wan Mohd Hasbullah, 34 dan Wan Harizahtul Nadia, 33.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, negara kehilangan seorang pemimpin yang banyak jasa terutama kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, kehilangan Allahyarhamah amat dirasai terutama buat semua yang mengenalinya.
"Walaupun dia sakit tetapi tetap juga bekerja dan menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin, dia turun padang. Dia banyak dahulukan masyarakat daripada diri dia sendiri," katanya.
@sinarharianonline Terlalu awal umum kekosongan kerusi DUN Mahkota - Puad Zarkashi #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Edisi #Johor #DUN #Mahkota #PuadZarkashi
News - ComaStudio
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!