Surat amaran, tamat kontrak jika kontraktor lewat siap projek

Alexander (dua dari kanan) mendengar taklimat berkaitan Jambatan Sungal Durian, Kuala Krai.
Alexander (dua dari kanan) mendengar taklimat berkaitan Jambatan Sungal Durian, Kuala Krai.
A
A
A

KUALA KRAI - Kementerian Kerja Raya (KKR) memandang serius kelewatan pembinaan Jambatan Sungal Durian, Kuala Krai di Jalan Persekutuan FT 08 yang mengakibatkan lanjutan masa sebanyak tiga kali.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pegawai penguasa sudah beberapa kali mengeluarkan surat amaran kepada pihak kontraktor berikutan kelewatan pelaksanaan projek yang dijadualkan siap 18 Julai tahun depan.

Menurut beliau, tindakan tegas mengikut syarat kontrak akan diambil kepada pihak kontraktor seperti mengeluarkan surat amaran termasuk penamatan kontrak jika kelewatan berulang pada masa hadapan.

"KKR akan memastikan projek ini dimasukkan ke dalam agenda utama dalam Mesyuarat Pemantauan Projek yang diadakan setiap bulan," katanya selepas meninjau projek penggantian Jambatan Sungai Durian di Jalan Persekutuan FT008 pada Jumaat.

Alexander memberitahu, projek penggantian jambatan yang bermula Jun 2021 itu bertujuan mengatasi masalah lalu lintas di laluan utama dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur susulan jambatan sedia ada sempit dan uzur.

Jelas beliau lagi, antara punca kelewatan dan lanjutan masa ialah pengambilan tanah yang mengambil masa selama dua tahun selepas tarikh milik tapak projek dan kelewatan pengalihan utiliti paip air Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) oleh pihak kontraktor.

"Selain itu, masalah pengurusan dan koordinasi projek turut menjejaskan pelaksanaan projek termasuk kelewatan membuat pesanan bagi pembekalan komponen jambatan keluli.

"Kemajuan fizikal projek ini sehingga 15 Julai 2024 adalah sebanyak 39 peratus dengan kos kontrak semasa bernilai RM16.026 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan pembinaan projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai kini dalam proses tender semula dan sebelum hujung tahun ini akan memberi Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor baharu.

Jelas beliau lagi, kontraktor sebelum ini tidak mampu menyiapkan projek dan langkah terbaik ialah menamatkan perkhidmatannya.

"Baki kerja yang masih ada memerlukan masa sehingga setahun setengah kerana sudah siap sebanyak 85 peratus," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!