Ibu sedaya upaya bantu selesai masalah rakyat - Anak Allahyarham ADUN Mahkota

Wan Mohd Hibatullah (tengah) menyiram air di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Raudathus Sakinah Kampung Tengah, Kluang, pada Jumaat.
Wan Mohd Hibatullah (tengah) menyiram air di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Raudathus Sakinah Kampung Tengah, Kluang, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Anak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, menyifatkan arwah ibunya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk.

Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar, 40, berkata, Allahyarham sangat komited dan tidak mahu menghampakan mereka yang datang bertemunya untuk meminta pertolongan.

"Dia suka tolong orang, apa sahaja dia akan bantu selagi mampu.

"Itulah Datuk Sharifah Azizah seorang yang kuat. Disebabkan sikapnya itu, beliau begitu disenangi oleh semua pihak," katanya ketika ditemui di rumah Allahyarhamah di Jalan Ahmad Khan di sini, pada Jumaat.

Ujarnya, sebelum meninggal dunia, ibunya sempat berpesan supaya menjaga adik-adiknya.

"Ibu saya pesan jaga adik-adik, walau macam mana pun saya kena jaga adik-adik sebab saya anak yang tua dan harap saya lebih kuat daripada adik-adik," katanya.

Sharifah Azizah, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pada jam 12.32 tengah hari Jumaat.

Anak kelahiran Kluang itu yang lahir pada 8 Disember 1960 merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Johor (2015-2018).

Artikel Berkaitan:

Beliau menang kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu.

Jenazah Allahyarhamah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah Kampung Tengah di sini jam 5.25 petang, Jumaat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!