Pearly-Thinaah tekad bawa pulang gangsa

Thinaah (kanan) dan Pearly mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tunduk kepada beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di separuh akhir pada Jumaat. Foto: Bernama
Thinaah (kanan) dan Pearly mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tunduk kepada beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di separuh akhir pada Jumaat. Foto: Bernama
A
A
A

GANDINGAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mahu segera melupakan kekalahan di tangan gandingan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan untuk penentuan pingat gangsa menentang pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida malam esok (9 malam waktu Malaysia).

Menurut Pearly, mereka mahu memberikan persembahan terbaik untuk membawa pulang pingat sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Dalam perlawanan separuh akhir pada Jumaat, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking ke-12 dunia tewas bermaruah 12-21, 21-18 dan 15-21.

“Kami sentiasa mempercayai diri kami sejak dari hari pertama lagi, masih ada perlawanan esok (malam ini) dan kami akan memberikan aksi 100 peratus.

“Apa yang penting kami perlu mendapatkan pemulihan dan tidur yang cukup,” kata Pearly.

Pearly (kanan) dan Thinaah akan beraksi dalam perlawanan pingat gangsa menentang pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida. Foto: Bernama
Pearly (kanan) dan Thinaah akan beraksi dalam perlawanan pingat gangsa menentang pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida. Foto: Bernama

Mengulas aksi menentang pasangan nombor satu dunia itu, Pearly berkata mereka memulakan permainan agak goyah di set pertama, namun percubaan untuk berada lebih lama di dalam gelanggang di set kedua membuahkan hasil sehingga mengheret perlawanan ke set penentuan.

“Di set kedua kami tidak menyerah kalah dan mahu berada lama di dalam gelanggang dan itu memberikan sedikit tekanan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi mental Qing Chen-Yi Fan kuat sehingga menang di set penentuan. Itu yang kami harus belajar daripada mereka.

“Apa pun, perlawanan ini bukan mudah dan ia sebenarnya perjalanan yang sukar dari awal kerana tiada siapa percaya kami mampu pergi sejauh ini,” katanya.

Sebagai rekod, Pearly-Thinaah dan Qing Chen-Yi Fan sudah membuat perhitungan dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini di mana pertemuan itu memihak kepada beregu China dengan keputusan 21-17, 22-20.

Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah pada penampilan sulung mereka di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menjadi beregu wanita pertama negara yang melangkah ke separuh akhir.

Beregu wanita negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!