BDS Malaysia seru rakyat hadir Himpunan Palestin Merdeka Ahad ini

Kenyataan BDS Malaysia yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat.
Kenyataan BDS Malaysia yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai diminta hadir ke Himpunan Palestin Merdeka pada 4 Ogos ini di Axiata Arena Bukit Jalil bagi memberikan sokongan kepada kerajaan di atas pendirian yang kuat dalam menyokong pembebasan wilayah berkenaan.

Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) berkata, kekejaman Israel semakin jelas selepas terjadinya pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh beberapa hari lalu meskipun beliau dalam proses rundingan secara tidak langsung dengan rejim Zionis untuk menamatkan genosid di Gaza, Palestin.

Menurut BDS Malaysia, sehingga hari ini genosid yang berlaku telah meragut nyawa lebih daripada 40,000 rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Kami juga ingin mengingatkan semua pihak berkenaan pendirian gerakan Hamas menyeru semua kerajaan dan organisasi agar memboikot Israel serta organisasi yang menyokong Israel dalam kenyataan dikeluarkan mereka baru-baru ini.

“BDS Malaysia berharap kerajaan mengumumkan pendirian lebih tegas untuk menyokong perjuangan Palestin dengan membatalkan rancangan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP)-BlackRock kerana syarikat berkenaan penyokong kuat Zionis Israel.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan menyampaikan satu pidato kemuncak di acara tersebut. Pengumumannya mengenai perkara ini amat dinanti-nantikan oleh pihak kami dan semua rakyat Malaysia,“ katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, media Iran melaporkan bahawa Haniyeh dibunuh dalam serangan udara yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Teheran sekitar jam 2 pagi waktu tempatan.

Serangan terbabit dilaporkan berlaku di rumah tamu untuk veteran perang yang diuruskan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Anwar mengadakan panggilan telefon kepada ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim untuk menyampaikan salam takziah kepada warga Palestin di atas pembunuhan pemimpin tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!