Universiti Sukan bantu atlet imbangi kerjaya, akademik

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Nazmizan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Nazmizan
A
A
A

IDEA penubuhan universiti sukan di Malaysia oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dilihat mampu membuang persepsi negatif terhadap bidang itu yang sering dikatakan tidak mempunyai masa depan cerah.

Olimpian olahraga negara Nazmizan Mohamad berkata, penubuhan universiti berkenaan memberi peluang kepada atlet untuk fokus kepada karier mereka tanpa menjejaskan pembelajaran.

“Tidak dinafikan memang ada universiti bagi kelonggaran (dengan) memberikan jadual fleksibel (kepada atlet) menjalani latihan dan menyertai pelbagai kejohanan tetapi universiti ini masih ada peraturan perlu diikuti sebagai contoh atlet perlu habiskan pengajian dalam tempoh tertentu.

“Atlet juga terpaksa mengikut peraturan ditetapkan dan mungkin ada (atlet) yang terpaksa mengorbankan masa latihan atau tidak menyertai kejohanan untuk fokus kepada akademik,” katanya.

Senada dengannya olimpian negara, Wendy Ng yang pernah menabur bakti dalam sukan terjun selama 17 tahun menyifatkan ia bakal merubah landskap industri sukan di Malaysia.

“Saya rasa cadangan penubuhan universiti sukan ini bagus sebab saya dulu merupakan pelajar dan ia bukan satu tugas yang mudah untuk jadi atlet dan pelajar dalam satu masa.

“Dengan adanya universiti sukan, saya rasa ia akan bagi lebih kelonggaran atlet untuk fokus kepada akademik tanpa merisikokan kerjaya mereka sebagai atlet. Jadi, kita juga boleh melahirkan atlet yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi kerjaya,” katanya.

Sementara itu, bekas atlet taekwondo Nurul Hidayah Abdul Karim, berkata universiti sukan bakal menjadi 'hab' pengumpulan golongan pakar, atlet dan pasukan sokongan dalam bidang kesukanan.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh di Korea Selatan, iaitu KNSU (Korea National Sport University), universiti ini mereka menawarkan kepada atlet untuk belajar jurusan sukan yang diikuti mereka. Jadi dekat situ, atlet akan belajar sukan yang mereka ceburi sejak dari asas sehingga perkara-perkara penting termasuklah sains sukan, psikologi dan fisiologi.

“Jadi atlet yang akan dihasilkan itu, lebih berkualiti dan dalam masa sama, mereka juga ada kelayakan akademik untuk digunakan pada masa akan datang,” katanya.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan universiti sukan, bagi memastikan atlet pelapis terutamanya lepasan sekolah sukan terus berkecimpung dalam sukan sekali gus memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat.

Malah penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berharap idea penubuhan universiti sukan itu dapat disegerakan memandangkan ia langkah tepat dalam memajukan industri sukan tanah air. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!