Tumpuan beralih ke PRK Nenggiri

Petugas SPR giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang pada Jumaat. Foto Bernama
Petugas SPR giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PERTARUNGAN merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan bermula usai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu.

Calon-calon tersebut mempunyai 14 hari untuk berkempen bagi meraih undi di kawasan DUN berkenaan yang merupakan satu daripada tiga kerusi di bawah Parlimen Gua Musang.

Setiap calon diberi tempoh satu jam untuk menyerahkan borang pencalonan mereka yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Proses penamaan calon akan berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) menamakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia sebagai calon.

Pilihan raya tersebut diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.

Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun keahliannya dalam parti itu telah digugurkan pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari mengundi manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan.

Artikel Berkaitan:

Ia berikutan selepas semua 14 pengundi yang terlibat memilih mengundi secara pos, susulan keperluan untuk mereka bertugas sepanjang tempoh kempen PRK.

Menurut SPR, seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Sementara itu, berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca sepanjang proses penamaan dijangkakan cerah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dalam kenyataan memaklumkan tiga jalan utama di Gua Musang akan ditutup sementara, bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari bagi melancarkan proses penamaan calon.

Ia melibatkan Jalan Persiaran Raya bermula dari lampu isyarat Persimpangan Mahkota sehingga lampu isyarat Persimpangan Bendahara dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!