Syarat longgar tingkat statistik kemalangan

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil dari kiri: Jamil Manan, James Ng
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil dari kiri: Jamil Manan, James Ng
A
A
A

SHAH ALAM - Kelonggaran syarat untuk menaik taraf Lesen Memandu Malaysia (LMM) Motosikal Kelas B1 atau B2 kepada B dikhuatiri akan meningkatkan statistik kemalangan jalan raya.

Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berkata, kelonggaran itu akan memberi kesan negatif lebih-lebih lagi bagi mereka yang belum bersedia untuk mengendalikan motosikal berkuasa tinggi dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, terdapat faktor yang perlu diambil kira terutama daripada aspek kemahiran dan kompetensi dalam mengendalikan motosikal mengikut kuasa enjin (cc).

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, 65 peratus kluster penunggang motosikal daripada golongan remaja berumur 16 hingga 35 adalah mereka yang banyak terkorban.

“Mereka belum benar-benar bersedia untuk kendalikan motosikal berkuasa tinggi, tanpa latihan mencukupi dan aspek lain seperti pengetahuan akan membahayakan mereka.

“Ini akan memberikan kesan negatif kerana syarat yang ditawarkan tidak begitu ketat bagi seseorang penunggang untuk naik taraf lesen,” katanya.

Kemalangan melibatkan motosikal berkuasa tinggi yang berlaku sebelum ini.
Kemalangan melibatkan motosikal berkuasa tinggi yang berlaku sebelum ini.

Sebelum ini, pemegang LMM kelas B1 dan B2 lebih 10 tahun layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B bermula 1 Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemohon perlu memenuhi beberapa syarat ditetapkan antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM).

Mengulas lanjut, kata Jamil Manan, tempoh latihan termasuk program amali, informasi pemanduan selamat dan operasi motosikal berkuasa tinggi dalam tempoh dua jam di IM tidak memadai.

“Pada pendapat saya dari segi masa sangat tidak memadai kerana pemohon perlu diberikan pendidikan dan pengetahuan secara komprehensif serta latihan kemahiran secara insentif.

“Latihan secara praktikal dan ujian khas perlukan waktu lebih panjang bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran mengendalikan motosikal dalam situasi mencabar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Berjaya Mega Motors, James Ng atau dikenali Boss James berkata, jualan motosikal berkuasa tinggi terutama enjin 250cc hingga 500cc dijangka meningkat susulan pengumuman kerajaan itu.

“Sebelum ini orang ramai hendak membeli motor berkuasa tinggi namun tiada lesen. Inilah masanya mereka merebut peluang untuk berbuat demikian,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!