Lelaki bunuh jiran gara-gara sakit hati kerap ditanya bila mahu kahwin
MEDAN - Seorang lelaki hilang pertimbangan apabila nekad membunuh jirannya selepas dia tersinggung dengan pertanyaan berulang kali jirannya itu mengenai tarikh mahu mengakhiri zaman bujangnya.
Kejadian pembunuhan itu berlaku di Kabupaten Tanapuli Selatan, Sumatera Utara pada 29 Julai lalu, di pasar Simangambat.
Menurut Ketua Seksyen Hubungan Masyarakat Polis Daerah Tapanuli Selatan, AKP Maria, mangsa yang dikenali sebagai Asgim Irianto, 60, dibunuh oleh Parlindungan Siregar, 45, menggunakan sebatang kayu.
"Hasil siasatan mendapati, pelaku membunuh mangsa kerana sakit hati apabila kerap ditanya kenapa belum berkahwin meskipun sudah berusia 45 tahun.
"Selepas kejadian itu (pembunuhan),orang ramai membawa mangsa ke sebuah klinik kesihatan berhampiran untuk menyelamatkan mangsa tetapi klinik kemudian mengesahkan bahawa dia sudah meninggal dunia," kata Maria kepada pemberita pada Rabu.
Tambah Maria, kejadian dipercayai berlaku pada jam 8 pagi waktu tempatan, ketika mangsa yang baru sahaja tiba di pasar berkenaan dengan sebuah motosikal didatangi pelaku yang memukul kepala mangsa dengan sebatang kayu.
"Mangsa sempat melarikan diri, tetapi dikejar pelaku yang kemudian dapat memukul kepalanya berkali-kali.
"Meskipun dibantu orang ramai, mangsa akhirnya tidak dapat diselamatkan," katanya.
Ujarnya lagi, sejam kemudian polis berjaya menahan pelaku.
"Sekitar jam 9 pagi kemudian polis menahan dia dan kemudian suspek dibawa ke balai polis Tanapuli Selatan.
"Suspek kemudiannya membawa polis ke rumah mangsa iaitu hanya bersebelahan dengan rumahnya sahaja," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!