Terengganu tak rela kempunan tiket final Piala FA

Pasukan TFC sudah bersedia untuk mengesahkan tiket ke final Piala FA. Foto TFC
Pasukan TFC sudah bersedia untuk mengesahkan tiket ke final Piala FA. Foto TFC
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) akan turun dengan persembahan terbaik ketika menentang Selangor FC dalam aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Skuad gergasi Pantai Timur itu sudah selangkah ke perlawanan akhir selepas meraih kemenangan 3-2 dalam aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, tugas para pemain adalah untuk memastikan TFC mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir sekali gus mencapai sasaran yang telah ditetapkan pasukan.

"Kita sudah meraih keputusan 3-2 dan saya harap kita akan bersedia untuk menghadapi perlawanan sukar dan mencapai misi ke perlawanan akhir.

"Ia (perlawanan akhir Piala FA) adalah sasaran pertama kami musim ini. Keputusan 3-2 itu mungkin tidak kukuh tetapi ia tetap memberikan kelebihan kepada kami," katanya.

Untuk rekod, langkah TFC dalam saingan Piala FA musim lalu terhenti di pusingan separuh akhir selepas tewas kepada Kuala Lumpur City FC.

Kali terakhir TFC mara ke pentas perlawanan akhir Piala FA dua tahun lalu ketika mereka tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dalam pada itu, Steinbruckner turut mengingatkan para pemainnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Selangor dan berwaspada dengan aura Stadium MBPJ.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Selangor sudah tentu akan turun dengan permainan agresif dalam mencari gol untuk kembali mengikat kedudukan.

"Mereka (Selangor) perlu menjaringkan dua gol sekiranya mereka mahu menang. Saya harap kami akan dapat mencipta peluang dan menyudahkannya.

"Dalam masa sama, kami turut perlu bertahan dengan baik dan mengelakkan gawang gol kami dibocori," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!