Berkhemah tepi pantai, lihat matahari terbenam
MERSING - Aktiviti perkhemahan kini menjadi aktiviti yang semakin popular dalam kalangan rakyat di negara ini.
Justeru, banyak pusat perkhemahan yang dibuka ketika ini supaya dapat memenuhi permintaan tinggi daripada orang ramai yang rata-ratanya mahu menikmati keindahan alam semula jadi selain berehat seketika setelah penat bekerja.
Salah satu pusat perkhemahan yang popular dan sering dikunjungi ramai di Johor ialah pusat perkhemahan Back To Nature (BTN) Campsite di Mersing.
Bagi seorang guru, Abdul Hakeem Misnan, 36, yang menggemari aktiviti perkhemahan, sudah lima kali mengunjungi tapak berkenaan yang disifatkan berbeza dengan tempat lain.
Katanya, selain ruang untuk khemah yang luas, dia dapat menikmati pemandangan yang indah terutamanya ketika menyaksikan matahari terbenam.
“Ikutkan sudah lima kali saya berkunjung ke sini dan kebiasaannya pada hujung minggu di mana tiga kali saya datang dengan keluarga dan dua kali ikut konvoi bermotosikal dengan kawan-kawan.
“Saya dapati di kawasan ini menyediakan fasiliti yang baik macam tandas bersih dan peraturan yang dikenakan pemilik di sini juga agak tegas kerana tidak boleh berkaraoke dan pasang lagu dengan kuat kerana ia boleh mengganggu ketenteraman pengunjung lain. Jadi suasana di sini memang selesa, senyap dan sunyi.
“Selain itu, di sini ada juga pantai khas untuk pengunjung tapak perkhemahan, dan ia sesuai untuk anak-anak.
“Bagi yang nak beriadah pula, boleh berjoging ke Pulau Mawar, lagi pun hanya enam kilometer dari tapak khemah ini ke Gerbang Laut Pulau Mawar,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Abdul Hakeem, dia turut mencadangkan kepada pihak pengurusan tapak perkhemahan berkenaan supaya menyediakan bekalan elektrik sebagai kemudahan kepada pengunjung.
Katanya, kemudahan itu penting bagi tujuan untuk mengecas telefon bimbit dan sebagainya.
“Jika tanya pada saya, sudah pasti saya akan mencadangkan agar plug point disediakan di tapak perkhemahan ini.
“Selain memudahkan pengunjung, ia juga akan memberikan nilai tambah kepada tapak perkhemahan ini,” jelasnya.
Seorang lagi pengunjung tapak perkhemahan BTN itu, M Suresh, 63, berkata, dia sudah beberapa kali berkunjung ke tapak perkhemahan tersebut.
Bagaimanapun katanya, dia hanya datang untuk menjalankan aktiviti seorang diri (solo campers) di tapak perkhemahan berkenaan.
“Sebenarnya kalau ikut jadual, saya memang akan layan hobi berkhemah dua kali sebulan.
“Saya berkunjung ke BTN ini pun hanya setahun sekali, tetapi saya gembira berada di sini dan sebenarnya banyak keunikan yang dapat kita lihat.
“Antaranya pokok ru yang rendang dan kawasan perkhemahan agak luas, mudah untuk pengunjung pacak khemah di sini,” ujarnya.
Mengulas mengenai aktiviti kegemarannya, Suresh berkata, dia akan membuat unggun api ketika berkhemah kem tersebut.
Malah katanya, dia juga gemar memasak sarapan pagi dan menikmati masakannya itu di bawah pokok ru yang terdapat di tapak perkhemahan tersebut.
“Saya sebenarnya berasal dari Kuala Lumpur dan memang sukakan aktiviti berkhemah macam ini.
“Ada juga tempat lain saya pergi, tetapi di BTN ini, saya akan datang sini setahun sekali dan saya ada buat satu video mengenai tapak perkhemahan ini,” jelasnya.
Tapak perkhemahan dilengkapi CCTV
Sementara itu bagi pemilik dan pengusaha tapak perkhemahan berkenaan, Jong Tze Shin, 39, dia mempunyai beberapa perancangan dari segi penambahbaikan kemudahan dan juga aktiviti di tapak perkhemahan berkenaan.
Katanya, antara yang akan dilakukan adalah untuk menambahkan beberapa lagi kemudahan seperti tayangan wayang gambar (wayang pacak), pemasangan internet di tapak perkhemahan bagi membolehkan tempahan dilakukan secara dalam talian dan lain-lain.
“Tapak perkhemahan ini berada di lokasi yang strategik dan mudah diakses selain memiliki pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan.
“Selain memiliki sistem pengurusan yang baik, cekap dan berpengalaman yang mana menjadikan penginapan di tapak perkhemahan di sini lebih selesa dan teratur.
“Untuk keselamatan pengunjung pula kita ada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik termasuk alat pemadam api selain kawasan yang berpagar di mana kawasan ini hanya membenarkan pengunjung berdaftar sahaja berada di tapak perkhemahan,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!