Kes tiada lesen memandu tinggi di Selangor

Antara bas pekerja yang ditahan untuk pemeriksaan JPJ Selangor dalam Op Bas Pekerja di Shah Alam, baru-baru ini.
Antara bas pekerja yang ditahan untuk pemeriksaan JPJ Selangor dalam Op Bas Pekerja di Shah Alam, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 18,799 pengguna jalan raya di Selangor dikesan tidak memiliki lesen memandu berdasarkan angka yang direkodkan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan tahun ini.

Keseluruhan jumlah pengguna yang tiada asas berkaitan peraturan jalan raya itu terdiri daripada mereka yang berumur antara 17 hingga 30 tahun.

Antara alasan yang sering diberi ialah tiada masa untuk membuat ujian memandu, sibuk dengan urusan belajar dan kerja.

Azrin
Azrin

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, statistik dalam tempoh lima bulan setakat Mei lalu mendapati penunggang motosikal merupakan pengguna tertinggi didapati tidak memiliki lesen memandu iaitu sebanyak 12,900 individu diikuti 4,927 kes membabitkan pemandu lori.

“Selain itu, turut dicatatkan ialah pemandu kereta iaitu seramai 913 orang serta pemandu bas seramai 59 individu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat JPJ Selangor, baru-baru ini.

Menurut beliau, kesalahan kerana tidak memiliki lesen memandu dikesan mengalami peningkatan selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2022 dan 2023.

Artikel Berkaitan:

Penunggang motosikal merupakan pengguna tertinggi yang didapati tidak memiliki lesen memandu iaitu sebanyak 12,900 individu.
Penunggang motosikal merupakan pengguna tertinggi yang didapati tidak memiliki lesen memandu iaitu sebanyak 12,900 individu.

“Statistik pada tahun 2022 merekodkan seramai 30,692 individu tidak memiliki lesen memandu, manakala tahun 2023 seramai 37,598 individu didapati melakukan kesalahan terbabit,” katanya.

Beliau memberitahu, kesalahan popular ini dikesan menerusi pelbagai kaedah penguatkuasaan yang dijalankan.

Antara operasi yang dilakukan melibatkan sekatan jalan raya (SJR), rondaan bergerak atau mobile selain operasi secara berterusan dan pada musim perayaan.

“Ia merupakan sesuatu yang membimbangkan apabila kita lihat jumlah angka dicatatkan ini, jelas menunjukkan bahawa betapa tingginya bilangan mereka yang tiada lesen namun bebas memandu atau menunggang di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, bilangan yang direkodkan ini jelas menunjukkan ketidakpekaan pengguna jalan raya berkaitan pematuhan peraturan.

“Alasan yang diberikan mereka yang ditahan atas kesalahan ini ialah kononnya tiada masa merupakan sesuatu yang secara tuntasnya tidak dapat diterima.

“Tidak memiliki lesen secara langsung tidak tahu berkaitan peraturan jalan raya dan boleh dikatakan ia merupakan salah satu daripada punca berlakunya kemalangan disebabkan tiada asas berkaitan peraturan lalu lintas,” katanya.

Tambah beliau, individu yang memiliki lesen pastinya faham berkaitan aspek keselamatan dan adab ketika berada di jalan raya.

“Elemen asas berkaitan peraturan jalan raya diterapkan ketika sesi sewaktu kelas memandu selain ujian dijalankan menjadikan seseorang itu terlatih ketika berada di jalan raya.

Van ini dipercayai dipandu oleh seorang individu yang tidak memiliki lesen memandu dan ditahan dalam operasi dijalankan JPJ Selangor, baru-baru ini.
Van ini dipercayai dipandu oleh seorang individu yang tidak memiliki lesen memandu dan ditahan dalam operasi dijalankan JPJ Selangor, baru-baru ini.

Denda hingga RM3,000

Azrin berkata, pihaknya pernah menahan dan mengambil tindakan ke atas remaja atas kesalahan tiada lesen memandu.

“Sesuatu yang mendukacitakan apabila kita mendapati pemilik kenderaan seolah-olah mengambil mudah dengan membenarkan kereta atau motosikal mereka dipandu oleh anak di bawah umur dan juga individu yang tidak mempunyai lesen,” katanya.

“Mana-mana pengguna yang didapati tiada lesen memandu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Peraturan ini memperuntukkan sama ada individu terbabit didenda antara RM300 hingga RM3,000, penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, operasi dan penguatkuasaan sentiasa dijalankan bagi memastikan semua pengguna mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

“Tiada lesen memandu merupakan antara sembilan kesalahan utama selain memandu melebihi had laju, gagal patuh lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memandu kenderaan berat di lorong laju,” ujarnya.

INFO

1) Remaja tiada lesen pandu Mercedes pergi institut memandu

Tindakan seorang remaja memandu sebuah Mercedes A250 untuk hadiri ujian memandu di sebuah institut di sini, mengundang padah selepas ditahan gara-gara tiada lesen di Shah Alam pada 14 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, remaja berusia 18 tahun itu hadir ke institut memandu untuk ujian lesen.

2) Pemandu van sekolah tiada lesen bagi alasan sibuk

Seorang pemandu van persendirian yang menjalankan khidmat pengangkutan pelajar sekolah memberi alasan tiada masa dan lesen memandu mahal selepas ditahan di sekitar Selangor, pada 22 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, Azrin Borhan berkata, Op Bas Sekolah itu dijalankan pihaknya secara statik dan rondaan bermula jam 2 pagi.

3) 'Kantoi' tiada lesen memandu gara-gara terlepas simpang

Nasib tidak menyebelahi seorang penunggang motosikal gara-gara terlepas simpang jalan sebelum ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kesalahan tiada lesen memandu.

Kesalahan terbabit dikesan selepas wanita berusia 23 tahun yang membonceng rakannya itu ditahan di Plaza Tol PJS 2, di sini pada 4 April lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!