Hati-hati dengan wabak koronavirus!

Koronavirus mudah tersebar melalui hidung dan mata

WUHAN, China menjadi bandar pencetus koronavirus.
WUHAN, China menjadi bandar pencetus koronavirus.
A
A
A

TAHUN baharu 2020 bermula suram apabila dunia dikejutkan dengan serangan dahsyat koronavirus yang bermula di Wuhan, China sebelum merebak ke seluruh dunia.

Koronavirus atau singkatannya, CoV, dikatakan sangat berbahaya. Virus yang menjangkiti paru-paru dan saluran pernafasan itu boleh menyebabkan mangsa mati jika tidak dirawat segera.

Di China sahaja setakat semalam, lebih 100 orang meninggal dunia akibat koronavirus. Susulan wabak berkenaan, Wuhan kini bertukar menjadi bandar mati selepas 11 juta penduduknya dikuarantin sejak kira-kira seminggu lalu.

Selain Wuhan, sekurang-kurangnya 17 buah bandar lain melibatkan 56 juta penduduk turut dikuarantin bagi mengelak penularan wabak berkenaan. Itulah penangan CoV.

Barangkali, disebabkan takut, ramai rakyat China mula berhijrah. Ironinya banyak negara lain sudah bertindak menutup pintu laluan masuk buat mereka walaupun ada si pembawa virus sudah lolos di negara ini.

Sama ada kerajaan Malaysia turut akan mengambil langkah menutup pintu atau tidak buat mereka dari China, ada sesuatu lebih menakutkan seantero dunia.

KORONAVIRUS, wabak kian agresif.
KORONAVIRUS, wabak kian agresif.

Wabak berbahaya itu berasal hanya daripada binatang liar. Ada pula mendakwa virusnya seakan-akan ‘senjata kimia’ untuk menyerang negara Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Mampukah wabak penyakit itu menjadi 'tentera serangan'? Apakah pengakhiran wabak yang dikatakan belum ada penawarnya itu? Haiwan liar mana yang menjadi punca wabak? Ikuti kupasan Sihat:Aktif pada minggu ini.

Serangan virus 'zombi'

TIDAK semena-mena ramai penduduk yang rebah dalam sela masa tidak berapa lama. Mangsa ditemukan 'mati' terbaring di merata lokasi.

Kondisi kesemua mangsa sama. Tiba-tiba lemah dan pengsan hingga terbaring tidak kira sama ada di dalam, luar bangunan atau di dalam gerabak serta stesen tren awam tanpa memberikan sebarang respons.

Orang ramai berhampiran yang sememangnya sudah sedia takutkan jangkitan, panik menjauhkan diri. Tidak berani mendekati apalagi membantu.

Mangsa hanya dibawa mendapatkan rawatan sejurus ketibaan anggota kesihatan yang lengkap dengan sut perlindungan.

Jika bernasib baik, mangsa sempat diberi bantuan, sebaliknya ramai yang menemui ajal. Umpama dalam filem, mahu mengelak diri daripada individu yang sudah menjadi zombi dek terkena jangkitan virus ngeri, ramai penduduk ketakutan hanya mengurungkan diri dalam rumah masing-masing.

Mereka juga dikuarantin dan diperiksa di mana-mana. Itu yang berlaku di Wuhan, wilayah Hubei, China sejak dua ke tiga minggu lalu.

Semuanya gara-gara serangan wabak koronavirus. Apa yang menakutkan, jangkitannya kian merebak hingga menjadi ancaman di seluruh dunia.

Susulan terdapat beberapa kes radang paru-paru, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam laman sesawangnya melaporkan, pihak berkuasa China pada 7 Januari lalu mengesahkan koronavirus yang baharu dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

Virus itu tidak sepadan dengan virus lain yang diketahui. Hal itu mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak yang diketahui mengenai sejauh mana tahap bahaya dan kesan jangkitannya terhadap manusia.

Perlu pelindung mata

Menurut WHO, koronavirus adalah keluarga besar virus. Menyebabkan penyakit daripada selesema biasa kepada yang lebih berbahaya, sindromnya seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV).

Persoalannya, mengapakah wabak itu kian agresif sehinggakan Wuhan sendiri ibarat 'bandar zombi'?

Benarkah ia bakal menjadi bayang-bayang hitam seantero dunia?

Menyingkap isu di sebalik penularan wabak koronavirus, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan dan Paru-paru (Respiratori), Sunway Medical Centre Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

DR Nurul Yaqeen Mohd Esa.
DR Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Agak mengejutkan, wabak koronavirus atau lebih dikenali sebagai '2019nCoV' sebenarnya mempunyai komponen genetik yang paling serupa terdapat pada ular dan kelawar.

Koronavirus mempunyai banyak jenis. Antara yang terkenal ialah MERS-CoV yang pernah menjadi wabak sekitar tahun 2012 hingga 2013 dan SARS (2003).

Terang Dr Nurul Yaqeen, jangkitan juga boleh merebak melalui mata! Jika pesakit terdedah kepada air liur, air bersin dan tangan yang sudah tercemar dengan bakteria itu, ia boleh menjadi punca.

"Mata terhubung dengan hidung melalui kelenjar lakrimal (kelenjar yang merembeskan air mata). Jadi, tidak aneh jika ia boleh merebak melalui mata.

“Meskipun topeng muka melindungi hidung serta mulut, ia tiada pelindung mata.

Itu sebab petugas kesihatan perlu memakai alat pelindung mata,” katanya kepada Sihat:Aktif.

Virus yang ada pada tangan juga boleh disebarkan ke mata melalui sentuhan.

Kongsi Dr Nurul Yaqeen, seorang pakar perubatan dari Universiti Southamptom, United Kingdom, Dr Michael Head, juga menyokong dakwaan berkenaan.

WABAK koronavirus kian mengancam masyarakat dunia.
WABAK koronavirus kian mengancam masyarakat dunia.

“Virus ini boleh merebak melalui manusia setelah melalui proses mutasi. Kajian terbaharu membuktikan ia boleh merebak antara manusia.

Beberapa kes kematian telah dicatatkan. "Ular berbisa spesies many-banded krait berkemungkinan menjadi punca asalnya penularan wabak koronavirus yang membawa penyakit berkaitan pernafasan yang merebak di China, sejak akhir Disember tahun lalu," katanya.

Siapa berisiko?

Ya, lapor CNN, ular yang juga dikenali dengan nama saintifiknya Bungarus multicinctus itu, merupakan spesies elapid berbisa yang sering ditemui di selatan China dan Asia Tenggara.

Laporan juga mendapati, ular spesies itu sering dijual di pasaran tempatan sebagai makanan eksotik di Wuhan, sekali gus mengaitkannya sebagai punca wabak itu bermula.

Mereka yang pernah melawat bandar Wuhan atau China dalam tempoh 14 hari sebelum simptom adalah individu paling berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Selain itu, individu yang berhubung rapat dengan pesakit yang dijangkiti virus 2019nCoV seperti ahli keluarga, rakan serumah, doktor dan jururawat yang merawat juga berisiko, ujar Dr Nurul Yaqeen.

Kongsinya lagi, lima kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak itu adalah individu yang berusia kurang dari enam tahun dan melebihi 65 tahun.

Pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan buah pinggang juga berisiko.

“Pesakit kanser yang baru selesai menjalani rawatan kimoterapi, pesakit HIV dan yang menerima rawatan transplan atau pesakit reumato dan mengambil ubat-ubatan 'immunosuppressant' juga berisiko mudah terkena wabak ini,” jelasnya.

Setakat Ahad lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat empat kes positif yang melibatkan pelancong dari Wuhan, China.

Mereka ialah seorang nenek berusia 66 tahun dan dua orang cucu berumur dua dan 11 tahun. Kesemua mereka mempunyai hubungan dengan dua lelaki yang telah diuji positif koronavirus di Singapura pada 22 Januari lalu.

Kes terbaharu pada 25 Januari lalu, disahkan seorang lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Wuhan. Bagaimanapun, ia dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan tiga kes positif seperti yang disahkan sebelum ini.

KKM telah mengaktifkan semua Pasukan Tindakan Pantas (RRT) dan Pasukan Penilaian Pantas (RAT) ekoran kes koronavirus di negara ini.

Pasukan-pasukan itu ditugaskan untuk menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan ditempatkan di fasiliti kementerian di seluruh negara termasuk di hospital dan klinik.

Syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Air dan AirAsia telah membekukan semua penerbangan dari Wuhan, mahupun ke sana susulan wabak itu.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) juga bekerjasama rapat dengan KKM bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang yang merupakan pintu masuk utama negara.

Sementara itu, misi diplomatik Malaysia, termasuk kedutaan di Beijing, sedang menubuhkan pasukan tindak balas kecemasan untuk membantu rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas oleh wabak koronavirus tersebut.

Saranan Dr Nurul Yaqeen untuk meminimumkan risiko koronavirus:

1. Menangguh perjalanan ke China berikutan wabak koronavirus kecuali atas urusan penting yang tidak boleh dielakkan.

2. Terus tularkan amalan etika batuk dan bersin yang sihat. Tutup hidung dan mulut dengan tisu ketika batuk dan bersin. Buang tisu tersebut ke dalam tong sampah.

3. Amalkan langkah pencegahan seperti membasuh tangan menggunakan sabun dan pensanitasi tangan serta mengenakan topeng muka dan pelindung mata.

4. Elakkan berkunjung ke tempat tumpuan ramai, ladang haiwan ternakan, pasar yang menjual binatang hidup, pusat sembelihan dan tidak menyentuh sebarang jenis haiwan.

5. Penting sekali, elakkan bersentuhan dengan pesakit yang dijangkiti 2019-nCoV. Jika terpaksa bersentuhan, pakai alat perlindungan dan basuh tangan selepas itu.

Penyebab masalah pernafasan serius, belum ada penawar

SEHINGGA kini belum ada penawar bagi koronavirus.

KEADAAN pesakit yang dijangkiti koronavirus di salah sebuah hospital di China.
KEADAAN pesakit yang dijangkiti koronavirus di salah sebuah hospital di China.

Pun begitu, tindakan yang boleh dilakukan adalah mengesan kes lebih awal bagi menghalang berlakunya sebarang komplikasi.

Pegawai Perubatan Umum Hospital Islam Az-Zahrah, Dr Norsyazriyatul Aisyah Mohd Subki berkata, satu-satunya kaedah yang boleh digunakan untuk pesakit positif dengan virus tersebut adalah melalui kuarantin dan merawat gejala seperti batuk, selesema dan demam.

Apa tidaknya, menurut Dr Norsyazriyatul, ia berikutan komplikasi serius boleh berlaku dalam kalangan 20 peratus pesakit yang berisiko mengalami masalah gangguan pernafasan serius.

Lebih dikenali sebagai Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), kumpulan pesakit ini memerlukan rawatan di unit rawatan rapi. “Lima peratus pesakit koronavirus boleh mengalami kegagalan pernafasan, jangkitan kuman di dalam darah dan masalah kegagalan organ utama," ujarnya.

Mengulas mengenai dos nelfinavir yang dikatakan mampu mengubati wabak berkenaan, terang Dr Norsyazriyatul, ia masih belum dapat disahkan.

Pun demikian, nelfinavir hanya ubat antiretroviral yang digunakan untuk penyakit HIV dan biasanya akan digabung bersama ubat lain, katanya. Menurut Wall Street Journal, beberapa pengeluar ubat-ubatan di Amerika Syarikat (AS) dan penyelidik di Universiti Queensland, Australia kini sedang bekerja keras membangunkan vaksin virus baharu tersebut.

CNN juga melaporkan bahawa Institut Kesihatan Kebangsaan, agensi utama kerajaan AS yang bertanggungjawab untuk penyelidikan kesihatan bioperubatan dan penyelidikan kesihatan awam, juga sedang menghasilkan vaksin.

Sepasukan saintis di Texas, New York dan China juga berusaha menghasilkan vaksin terbabit, kata CNN, yang memetik Dr Peter Hotez, seorang saintis vaksin di Kolej Perubatan Baylor di Houston.

Terdahulu, sekata seperti Dr Nurul Yaqeen, Dr Norsyazriyatul berkata, simptom penyakit koronavirus sama seperti jangkitan selesema. Ini termasuk batuk, selesema, demam, sakit dan lenguh badan serta menyebabkan komplikasi kepada pesakit yang lemah imuniti seperti pneumonia (jangkitan paru-paru).

Golongan yang lemah imuniti dan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua yang mempunyai masalah kesihatan, ibu mengandung, pesakit kanser serta yang lain-lain sangat berisiko dan mudah dijangkiti. Jelas Dr Norsyazriyatul, koronavirus merupakan 'keluarga virus' yang kebanyakannya dijumpai dalam haiwan seperti unta, kelawar, kucing dan lain-lain khususnya spesies mamalia.

"Koronavirus yang menjangkiti manusia adalah seperti Mers-Cov dan SARS serta yang terbaharu, koronavirus adalah sejenis virus yang termutasi," jelasnya.

Cara jangkitan dipercayai boleh berlaku melalui pemakanan atau tenusu daripada haiwan mentah, sentuhan terus dengan haiwan dan jangkitan individu kepada individu lain melalui titisan pernafasan seperti bersin dan batuk.

"Jadi, tegasnya haiwan berkenaan tidak semestinya menjadi punca utama penyebaran virus berkenaan," katanya.

SEHINGGA kini masih belum ada ubat-ubatan yang benar-benar terbukti dapat merawat koronavirus.
SEHINGGA kini masih belum ada ubat-ubatan yang benar-benar terbukti dapat merawat koronavirus.

ANEKDOT

Perbandingan Virus Koronavirus dan Influenza

1. KORONAVIRUS

Virus nCov, MERS-CoV atau SARS-CoV.

- CARA PENYEBARAN

Melalui pesakit yang batuk dan selesema, sentuhan, makanan yang tidak dimasak dengan bersih dan sempurna.

- SIMPTOM

Demam, selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit badan, sesak nafas.

- KOMPLIKASI

Jangkitan paru-paru, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), kegagalan buah pinggang dan kematian.

- RAWATAN

Tiada protokol rawatan spesifik.

- VAKSIN

Tiada

2. VIRUS INFLUENZA

Virus influenza A, B atau C

- CARA PENYEBARAN

Melalui titisan salur pernafasan yang dilepaskan oleh pesakit melalui batuk atau bersin serta menerusi sentuhan.

- SIMPTOM

Demam, selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit badan.

- KOMPLIKASI

Jangkitan paru-paru, keradangan pada jantung (miokarditis), otak (ensefalitis) atau tisu otot (miositis, rabdomiolisis).

- RAWATAN

Konservatif, antiviral.

- VAKSIN

Ada dan perlu diambil setiap tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!