Azab pesawah tanaman padi tak menjadi

Azhar menunjukkan keadaan sawah padi yang kering mengakibatkan banyak rumput tumbuh berbanding pokok padi.
Azhar menunjukkan keadaan sawah padi yang kering mengakibatkan banyak rumput tumbuh berbanding pokok padi.
A
A
A

KAWASAN jelapang padi di daerah Kerian antara yang dikenal pasti terkesan akibat cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Paras air Empangan Bukit Merah yang digunakan bagi tujuan pengairan tanaman padi telah menyusut ke paras 6.05 meter dengan status semasa aras henti bekalan pengairan.

Sejak Mei lalu hingga hari ini, paras empangan itu terus menyusut sehingga menampakkan sebahagian dasarnya.

Kesannya, empangan yang terletak di antara dua buat daerah iaitu Kerian dan Larut Matang, Selama ini terpaksa menghentikan bekalan air ke sawah padi sekali gus menjejaskan ribuan pesawah di daerah utara Perak.

Ikuti laporan disediakan wartawan Sinar Harian, NORMAWATI ADNAN yang menyingkap keluhan dan kerugian yang terpaksa dialami pesawah.

Cuaca panas pada musim ini disifatkan paling teruk dialami petani dalam tempoh lima tahun.
Cuaca panas pada musim ini disifatkan paling teruk dialami petani dalam tempoh lima tahun.

SAWAH kering-kontang dan petani mengalami kerugian teruk akibat tanaman padi yang tidak menjadi.

Itu keadaan yang dialami pesawah di sebahagian Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian susulan penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah akibat cuaca panas sejak Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan paras air yang mulai menyusut itu memaksa bekalan untuk tujuan pengairan sawah dihentikan bermula 28 Jun lalu.

Kesannya dalam tempoh satu bulan ini, seluas 4,890 hektar sawah di kawasan Kuala Kurau, Jalan Siakap, Alor Pongsu, Bagan Serai, Masjid Tinggi, Parit Gabis, Telok Medan, Semanggol dan Selinsing yang melibatkan 2,162 pesawah terjejas.

Mengambil kira kos RM1,500 yang dikeluarkan bagi setiap hektar sawah padi, dianggarkan kerugian ditanggung pesawah mencecah RM7.3 juta akibat hasil tidak menjadi.

Maslan
Maslan

Ketua Unit Parit Haji Ali Masjid Tinggi, Maslan Napiah berkata, ketiadaan air menyebabkan pembesaran pokok padi terbantut.

Katanya, ketika ini kebanyakan sawah padi yang diusahakan sudah menjangkau usia 55 ke 60 hari, namun keadaan sawah yang kering hanya dapat menghasilkan padi kosong tidak berisi.

“Bila jadi keadaan begini, pokok padi tidak dapat melonjak naik dan kalau kita tabur baja pun tidak beri kesan,” katanya.

Mohd Nor
Mohd Nor

Ketua Unit Parit Ali Kalang, Mohd Nor Mat Jam pula berkata, cuaca panas pada musim ini disifatkan paling teruk dialami petani dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, bagi mengelak tanaman terjejas teruk, ada kalangan pesawah mengeluarkan modal sendiri membeli pam bagi menyalurkan air dari terusan ke petak sawah.

Bagaimanapun ujarnya, satu set pam air berharga sekitar RM1,700 dan tidak semua petani mampu membelinya.

“Untuk satu hektar sawah, dua hari diperlukan untuk pam air, barulah penuh. Itu belum kira kos petrol untuk menggerakkan pam kerana dalam sehari, tiga kali perlu diisi.

“Jadi untuk musim ini, petani bukan sekadar mengeluarkan modal beli benih, kos membajak dan racun, tetapi juga kos beli pam, sedangkan hasilnya belum tentu dapat,” katanya.

Ahmad Rasid
Ahmad Rasid

Ketua Unit Parit Simpang Lima, Ahmad Rasid Salim berharap kerajaan dapat memberi bantuan segera kepada pesawah.

“Lihatlah sawah yang ada di sini. Kawasan yang sepatutnya menghijau dengan sudah diganti dengan rumput tinggi.

“Jika ia berterusan, bagaimana kami dapat bertahan untuk musim seterusnya,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, Operasi Pembenihan Awan yang dilaksanakan sejak Isnin belum berjaya meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah.

Cuaca kering dan ketidakcukupan bekalan air mengakibatkan pembesaran pokok padi terbantut.
Cuaca kering dan ketidakcukupan bekalan air mengakibatkan pembesaran pokok padi terbantut.

Segerakan projek sambungan air Sungai Perak ke Bukit Merah

PROJEK pengurusan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini perlu disegerakan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Azhar Hashim berkata, langkah itu adalah paling proaktif bagi menangani masalah bekalan air bagi tujuan pengairan setiap kali musim kemarau tiba.

Menurutnya, buat masa ini, majoriti pesawah menggunakan pam bergerak bagi membantu proses pengairan air, namun kaedah itu banyak bergantung kepada paras air di terusan.

“Jika paras air di terusan juga menyusut, tiada kaedah lain yang dapat digunakan.

“Syor yang dikemukakan kerajaan dengan membina terowong dari Sungai Perak ke Bukit Merah adalah paling praktikal bagi kesan jangka panjang, hanya perlu disegerakan agar pada musim-musim akan datang tidak berlaku masalah sama,” katanya.

Bekalan air tidak mencukupi memberi kesan kawasan yang sepatutnya menghijau dengan jelapang padi sudah diganti dengan rumput tinggi.
Bekalan air tidak mencukupi memberi kesan kawasan yang sepatutnya menghijau dengan jelapang padi sudah diganti dengan rumput tinggi.

Beliau yang juga Ketua Unit Parit Haji Taib 3 berharap, kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan sekali bayar kepada pesawah yang terjejas.

Katanya, bantuan itu sekurang-kurangnya dapat menampung kos kerugian yang ditanggung petani musim ini akibat hasil tidak menjadi.

“Impak bekalan pengairan yang tidak mencukupi ketika ini menyebabkan hampir 90 peratus hasil padi kawasan jelapang padi Kerian tidak dapat dituai.

“Kalau dapat bantu separuh daripada kos pun sudah mencukupi, dapat juga digunakan bagi membayar kos baja dan membajak di musim seterusnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!