Tapis calon, pastikan tiada rekod kesalahan jalan raya
SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan setiap pemegang lesen B1 dan B2 yang menjadi calon program peralihan khas untuk mendapatkan lesen Kelas B penuh, bersih daripada rekod kesalahan jalan raya selain mampu mengendalikan motosikal berkuasa tinggi dengan baik.
Presiden Warisan Bikers Club, Shahril Saharuddin berkata, perkara itu demi memastikan aspek keselamatan dititikberatkan memandangkan kelajuan motosikal berkuasa tinggi bakal memberi pengalaman berbeza yang lebih menyeronokkan.
Menurutnya, tanpa kesedaran penunggang motosikal untuk mematuhi undang-undang jalan raya, dikhuatiri menimbulkan masalah lain pada masa akan datang.
“Bagi saya, nak menunggang motosikal berkuasa tinggi ni kena ada satu perasaan yang cool (tenang)...sebab keseronokannya berbeza dengan motosikal biasa.
“(Kelajuan) motosikal biasa boleh pergi 120/180 per kilometer sejam, tapi motosikal berkuasa tinggi boleh cecah 200 hingga 300/km baru dia rasa puas. Jadi, kena tapis dan tengok rekod (kesalahan lampau),” katanya.
Beliau mengulas pengumuman kerajaan yang membenarkan pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 selama lebih 10 tahun menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B bermula 1 Oktober depan.
Shahril berkata, usaha kerajaan menyediakan kemudahan tersebut wajar dipuji dan dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Ini kemudahan yang kerajaan nak beri kepada pemegang lesen. Memang bagus dan (caj perkhidmatan RM160) juga murah jika dibandingkan waktu kami ambil lesen dulu hampir RM1,000.
“Tapi bukan mudah untuk kendalikan motosikal berkuasa tinggi bagi mereka yang tak biasa kendalikannya. Kena pastikan benar-benar mahir dan tidak terlalu mengikut perasaan untuk bawa di jalan raya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!