Kedai kopi konsep klasik imbau nostalgia lama
ALOR SETAR - Seorang kontraktor memanfaatkan koleksi barang antik yang dimilikinya dengan membuka sebuah kedai kopi berkonsepkan klasik untuk pelanggan mengimbau nostalgia zaman silam.
Pemilik Kedai Kopi Chubani, Shahbani Saad, 67, berkata, terdapat kira- kira 60 barangan antik dipamerkan di kedainya yang terletak di Jalan Lencong Barat di sini.
Katanya, sebaik melangkah masuk ke kedainya, pelanggan akan berasa seperti berada dalam sebuah rumah pada zaman dahulu.
"Kedai ini dibuka pada Ogos 2022, sebelum beroperasi saya ambil masa tiga bulan untuk fikir reka bentuk dan ubah suai bangunan ini yang asalnya adalah pejabat.
"Semua idea dan peralatan dalam kedai adalah barangan yang saya cari sendiri contohnya kerusi kayu yang ada ini diperbuat daripada kayu landasan kereta api," katanya ketika ditemui di kedainya di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pembukaan kedainya itu turut memberi peluang kepada pelanggannya mengimbau nostalgia lalu sambil menikmati hidangan.
"Masuk sahaja ke kedai saya, pelanggan akan dapat melihat barangan yang membolehkan mereka mengimbau kenangan lalu bersama keluarga.
"Sebagai contoh sebuah tin biskut kering yang saya masih simpan di sini adalah biskut yang sering dibeli oleh keluarga generasi terdahulu.
"Zaman dulu kebanyakan kita akan makan biskut kering atau orang Kedah panggil roti empat segi. Jadi bila orang mai (datang) makan di sini, tengok tin itu mereka akan teringat kenangan dulu-dulu," ujarnya.
Beliau yang mengusahakan kedai kopi berkenaan bersama keluarganya berkata, satu keunikan di kedainya adalah tandas dalam almari.
"Untuk masuk ke tandas, pelanggan perlu buka pintu almari dahulu. Almari itu pun almari lama yang orang dulu- dulu panggil 'setbod'," ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai minatnya, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, minat mengumpul barangan antik berkenaan bermula sejak kira-kira 30 tahun lalu.
"Minat ni mula dari saya belum kahwin lagi, tambahan pula Allahyarham datuk saya, Saud Man juga peminat barangan antik, jadi saya sambung la warisan keluarga ni," katanya.
Shahbani berkata, antara barangan yang diwarisi daripada Allahyarham datuknya adalah kipas angin, radio dan gobek pinang.
"Ikutkan saya ada lebih 100 koleksi barangan antik, tetapi yang mahal dan bernilai saya simpan di rumah.
"Di sini saya pamerkan yang menarik dan kena dengan konsep kedai sahaja," katanya yang akan menambah beberapa koleksi lagi.
Menurutnya, kedai kopi itu beroperasi setiap hari kecuali Rabu dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
"Setakat ini saya lihat kedai kami jadi tumpuan warga emas dan rakan-rakan dari kaum Cina dan India.
"Mungkin konsep yang kami bawa dekat di hati mereka termasuk menu ditawarkan seperti pulut ikan kering dan peknga (lempeng)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!