PRK Nenggiri: Penyokong BN, PN berbalas takbir

Penyokong BN dan PN saling berbalas laungan takbir sebaik calon tiba di pusat penamaan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini pada Sabtu.
Penyokong BN dan PN saling berbalas laungan takbir sebaik calon tiba di pusat penamaan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini pada Sabtu.
A
A
A

GUA MUSANG - Ribuan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) saling berbalas laungan takbir sebaik calon tiba di pusat penamaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini pada Sabtu.

Laungan daripada kedua-dua penyokong itu sekali gus menghangatkan suasana semasa calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail memasuki Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Penyokong BN yang tiba di hadapan dewan berkenaan kira-kira jam 9 pagi turut menyanyikan lagu keramat UMNO bagi membangkitkan lagi semangat.

Perarakan penyokong BN berkenaan diketuai sendiri Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan pucuk pimpinan parti yang lain.

Penyokong PN pula turut berselawat dan membaca Surah Yasin sebaik mereka tiba di pusat penamaan calon berkenaan.

Perarakan penyokong PN itu diketuai Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan disertai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula Sabtu hingga 11.59 malam, 16 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Nenggiri yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!