Ringgit diunjur mengukuh bawah 4.55 berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit berkemungkinan mencatat pengukuhan ketara dengan mencecah paras di bawah 4.55 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.Gambar hiasan
Ringgit berkemungkinan mencatat pengukuhan ketara dengan mencecah paras di bawah 4.55 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT berkemungkinan mencatat pengukuhan ketara dengan mencecah paras di bawah 4.55 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Dalam tinjauan mingguannya terhadap ringgit, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, prospek optimistik itu didorong oleh gabungan faktor seperti kesan negatif yang terhad terhadap pound Britain kesan daripada tindakan Bank of England menurunkan kadar faedah baru-baru ini selain tanda-tanda kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

"Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS yang lemah pada 46.8, berbanding jangkaan konsensus 48.8, hanya membuktikan cabaran ekonomi berterusan di negara maju berkenaan.

"Keadaan sedemikian berkemungkinan terus memberi tekanan kepada Indeks Dolar AS (DXY) yang cenderung susut dan sebaliknya berpotensi mengukuhkan ringgit untuk diniagakan di bawah 4.55 berbanding dolar AS,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata, data penggajian bukan perladangan dan kenaikan kadar pengangguran, akan turut meningkatkan lagi potensi Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah, sekali gus mengukuhkan naratif penurunan dolar AS.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula memberitahu Bernama, senario semasa menyaksikan jangkaan penurunan kadar AS terus mendapat momentum.

"Kesemua ini menunjukkan perbezaan kadar faedah antara Kadar Dana Fed dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan akan terus menyokong nilai ringgit pada masa depan, terutama apabila ringgit masih dianggap sebagai nilai rendah," katanya.

Sejajar dengan kenaikan ketara ringgit baru-baru ini, Mohd Afzanizam berkata, mungkin sedikit masa diperlukan untuk menembusi paras sokongan semasa kerana tindakan peserta pasaran mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan.

Artikel Berkaitan:

Atas alasan itu, beliau menjangkakan ringgit dalam julat 4.48-4.49 pada minggu depan.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB, Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata, ringgit dijangka meneruskan kenaikan minggu depan, berikutan penurunan ketara dalam DXY selepas pengumuman data senarai gaji bukan perladangan.

Data menunjukkan peningkatan kadar pengangguran kepada 4.3 peratus, melebihi jangkaan pakar ekonomi.

Mohd Sedek turut menjangkakan ringgit terus mengukuh ketika dolar AS bergelut mengekalkan nilai semasanya. Seiring tindakan Bank of Japan menaikkan kadar faedah, pelabur mungkin mengalihkan pelaburan mereka ke pasaran negara sedang pesat membangun.

"Ini akan memberi manfaat kepada ringgit apabila pelabur mempelbagaikan portfolio untuk mengurangkan risiko yang dapat membawa kepada peningkatan aliran masuk asing ke Malaysia dan mengukuhkan ringgit.

"Bagaimanapun, pengukuhan secara mendadak mungkin membawa kepada langkah pembetulan jangka pendek. Namun begitu, kami tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku dalam masa terdekat kerana ringgit baru memulakan pemulihannya,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, reaksi pasaran terhadap isyarat Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell mengenai penurunan kadar pada September, menyebabkan peningkatan mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit berbanding dolar AS.

Malah, pada asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.4945/4995 berbanding dolar AS daripada 4.6550/6605, seminggu lepas.

Unit tempatan itu juga naik berbanding euro kepada 4.8635/8689 daripada 5.0530/0590, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7264/7328 daripada 5.9901/9971 namun hampir mendatar berbanding yen Jepun kepada 3.0177/0214 daripada 3.0176/0214, seminggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan meningkat berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk naik berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.75 berbanding 7.97/7.99 seminggu sebelum ini dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 277.4/277.8 daripada 285.5/286.0.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3750/3793 daripada 3.4641/4684 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.7093/7284 daripada 12.9069/9268 pada Jumaat lepas.


Bursa Malaysia dijangka terus alami pergerakan kecil minggu depan

Dalam pada itu, Bursa Malaysia dijangka terus mengalami pergerakan kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan, berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lembap berbanding jangkaan serta pengangguran lebih tinggi masih ada.

Bursa Malaysia dijangka terus mengalami pergerakan kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan, berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lembap berbanding jangkaan serta pengangguran lebih tinggi masih ada.Gambar hiasan
Bursa Malaysia dijangka terus mengalami pergerakan kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan, berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lembap berbanding jangkaan serta pengangguran lebih tinggi masih ada.Gambar hiasan

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd, Kenneth Leong berkata, pelabur akan meneliti data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan ISM di AS Isnin depan.

"Di peringkat domestik, tumpuan utama akan diberikan kepada Indeks Jumlah Perdagangan Borong dan Runcit bagi suku kedua 2024 (8 Ogos), dan Indeks Pengeluaran Perindustrian serta Laporan Statistik Tenaga Buruh bagi Jun 2024 pada 9 Ogos.

"Kami menjangkakan risiko penurunan muncul sekiranya ketiadaan pemangkin baharu, manakala faktor luaran mungkin terus menjejaskan prestasi indeks utama," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, secara teknikal, FBM KLCI telah membentuk satu lagi corak lilin yang lemah apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) terus susut ke arah 1,600 mata pada Jumaat.

"Kami mengekalkan unjuran FBM KLCI dengan cenderung menurun ekoran indeks utama dilihat berada dalam aliran ke arah paras sokongan jangka masa terdekat iaitu 1,580. Rintangan dilihat pada 1,630," katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng turut senada bahawa Bursa Malaysia mungkin kekal dalam keadaan tidak banyak berubah namun dengan kecenderungan meningkat minggu depan.

Beliau berkata, ini memandangkan hala tuju pasaran tempatan bagi jangka masa panjang kekal positif.

Daripada perspektif teknikal, indeks penanda aras terus menurun, ditutup di bawah purata pergerakan eksponen (EMA) 20 hari dan turun naik ketara pasaran dijangka berterusan dengan FBM KLCI berlegar sekitar EMA 20 hari, katanya.

"Walaupun keadaan tidak banyak berubah bagi jangka masa terdekat namun, aliran jangka masa panjang kekal meningkat susulan indeks masih di atas EMA 50 hari.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras akan turun naik dalam julat 1,600 hingga 1,630 minggu depan, dengan sokongan serta-merta pada 1,600 diikuti 1,592." katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 1.83 mata kepada 1,611.05 daripada 1,612.88 minggu lepas.

Bagi minggu ini, Bursa Malaysia mencatatkan dagangan rendah kebanyakannya disebabkan keputusan bank pusat utama, data ekonomi utama dan pengumuman pendapatan syarikat bermodal mega di AS.

Pertumbuhan ekonomi yang lembap di AS, jangkaan kenaikan kadar yang lain di Jepun, dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Timur Tengah baru-baru ini turut mempengaruhi sentimen pelabur.

Rizab Persekutuan AS memutuskan kadar faedahnya dikekalkan dan pada masa sama tindakan itu menandakan potensi pelonggaran dasarnya pada September jika inflasi berkurangan.

Bank of Japan pada Rabu pula menaikkan kadar faedah penanda arasnya kepada sekitar 0.25 peratus, paras tertinggi sejak 2008 manakala pasaran menjangkakan satu lagi kenaikan kadar menjelang akhir tahun ini.

Menurut Biro Perangkaan Buruh Jabatan Buruh AS, kadar pengangguran naik kepada 4.3 peratus pada Julai, dan senarai gaji bukan ladang meningkat sebanyak 114,000 pekerjaan berbanding 179,000 yang disemak pada Jun.

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas berkurang 160.23 mata kepada 12,303.50, Indeks FBMT 100 turun 130.61 mata kepada 11,919.95, Indeks FBM Emas Syariah susut 293.00 mata kepada 12,448.15, Indeks FBM 70 merosot 627.35 mata kepada 17,902.80 dan Indeks FBM ACE menguncup 323.68 mata kepada 5,470.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 259.67 mata kepada 18,231.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 6.35 mata kepada 185.5, Indeks Tenaga kurang 36.98 mata kepada 929.15 dan Indeks Perladangan berkurang 0.58 mata kepada 7,143.61.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah dagangan susut kepada 21.51 bilion unit bernilai RM16.31 bilion daripadaa 23.24 bilion unit bernilai RM15.63 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 12.65 bilion saham bernilai RM14.54 bilion daripada 12.38 bilion saham bernilai RM13.40 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 5.16 bilion unit bernilai RM650.71 juta daripada 6.10 bilion unit bernilai RM745.77 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula merosot kepada 3.65 bilion saham bernilai RM1.11 bilion daripada 4.75 bilion saham bernilai RM1.48 bilion minggu sebelum ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!