Olimpik Paris: Pelari pecut tumbang ketika saingan 100m
PELARI pecut Sudan Selatan, Lucia Moris dibawa keluar menggunakan pengusung selepas mengalami kecederaan semasa pusingan awal 100 meter (m) wanita di Sukan Olimpik Paris.
Moris kelihatan mengalami kecederaan pada pertengahan perlumbaan apabila atlet berusia 23 tahun itu rebah kira-kira 30m dari garisan penamat.
Dia memulakan perlumbaan dengan baik, namun kemudian kelihatan tidak selesa dan tersandung menyebabkan kakitangan perubatan bergegas ke trek untuk membantunya selepas perlumbaan berakhir.
Natacha Ngoye dari Congo memenangi saingan dengan catatan masa 11.34 saat, tetapi beberapa rakan pesaing Moris segera berlari ke arahnya selepas saingan tamat.
Moris beraksi di temasya Olimpik keduanya selepas temasya di Tokyo dan dia merupakan pembawa bendera Sudan Selatan.
Bagaimanapun, penyingkirannya dalam pusingan awal bermakna Sudan Selatan masih belum memenangi sebarang pingat sejak Sukan Olimpik sulung mereka di Rio lapan tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!