'Mat Saleh' buat kecoh tak puas hati teman wanita ditahan
KUALA LUMPUR - Melihat teman wanitanya warga Nigeria ditahan disyaki melakukan kesalahan imigresen, seorang lelaki tidak berpuas hati dan mengganggu tugas polis dalam kejadian di Jalan Changkat, Bukit Bintang di sini pada Sabtu.
Lelaki 'Mat Saleh' berusia lingkungan 40-an itu pada awalnya beredar selepas berpuas hati dengan pencerahan pegawai imigresen berkenaan penahanan teman wanitanya itu.
Bagaimanapun dia berpatah balik ke arah pasukan operasi hingga hampir mencetuskan provokasi sebelum ditahan untuk proses dokumentasi.
Pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Itu antara situasi yang berlaku semasa Op Pintas Wakanda oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ke atas tiga pusat hiburan di Jalan Changkat di sini.
Pada masa sama, satu serbuan turut dijalankan sebuah premis di Sri Hartamas, di sini.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi bermula jam 1.30 pagi itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, operasi ini berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Nigeria berusia 28 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks.
"Selain itu, polis telah menahan 39 warga dari Afrika serta dua warga Pakistan berusia lingkungan 25 hingga 56 tahun untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"Kesemua tangkapan termasuk 11 wanita itu membabitkan warga Tanzania, Nigeria, Uganda, Sierra Leone serta Pakistan," katanya pada Sabtu.
Tegas Mohd Shuhaily, tiga warga Nigeria termasuk seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007.
Tambahnya, tangkapan masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan IPD Brickfields untuk siasatan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!