Pecut SUV larikan diri selepas seret motosikal 100 meter
RAWANG - Takut dicederakan menjadi alasan seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) memecut kenderaannya melarikan diri selepas melanggar sebuah motosikal dalam kejadian Khamis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ariffin Mohamad Nasir berkata, video kejadian berdurasi 18 saat tular di media sosial memaparkan kenderaan jenis Honda CRV dipandu lelaki berusia 50 tahun itu menyeret motosikal di Jalan Rawang-Bestari Jaya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 1.20 pagi, Khamis dan satu laporan polis telah dibuat seorang remaja berusia 18 tahun jam 2.30 pagi pada hari sama.
"Pengadu ternampak Honda CRV itu dipandu lelaki warga tempatan berumur 50 tahun melanggar motosikalnya ketika sedang mengundur keluar daripada parkir.
"Pengadu pergi ke kereta tersebut bersama lima orang rakannya.
"Pemandu tersebut yang dalam keadaan takut telah cuba melarikan diri kerana bimbang akan dicederakan," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pengadu bersama rakan-rakan kemudian cuba mengejar kenderaan tersebut dan apabila sampai di lampu isyarat hadapan sebuah stesen minyak, seorang daripadanya memberhentikan motosikal di hadapan kenderaan itu.
"Dipercayai takut, pemandu Honda CRV itu memecut dan melanggar serta mengheret motosikal tersebut sejauh 100 meter.
"Dia terpaksa memberhentikan kenderaan selepas tayarnya pecah, " katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujar beliau, oramg awam yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!