Jasa Sharifah Azizah terus diingati

Datuk Sharifah Azizah Syed Zain
Datuk Sharifah Azizah Syed Zain
A
A
A

KLUANG – Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, telah pergi buat selama-lamanya, namun segala kebaikan serta jasa Allahyarhamah kepada masyarakat akan terus dikenang dan diingati.

Malah dalam kalangan rakan-rakannya, Allahyarhamah disifatkan sebagai seorang sahabat yang baik dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

Perkara itu diakui oleh Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang, 61, yang turut menghadiri pengebumian Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam, Raudhatul Sakinah, Kampung Tengah, di sini, pada Jumaat.

Hashim berkata, Allahyarhamah merupakan pelajar senior dua tahun daripadanya ketika bersekolah di Sekolah Agama Gunung Lambak, Kluang.

Katanya, sifat Allahyarhamah yang mudah mesra turut menjadikannya sebagai seorang sahabat yang sangat baik dan disenangi oleh sesiapa sahaja.

“Sifat mudah mesranya itu saya percaya diwarisi daripada Allahyarham bapanya, Datuk Syed Zain AsSahab yang pernah memegang jawatan selaku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Sebab itu bintangnya dalam politik menyerlah. Selain menjawat jawatan selaku ADUN, beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Negara sebelum dipilih ADUN Penawar dan Mahkota,” katanya.

Sharifah Azizah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pada jam 12.32 tengah hari, Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Allahyarhamah meninggalkan empat cahaya mata iaitu Wan Mohd Hibatullah, 40; Wan Mohd Hazwan, 39; Wan Mohd Hasbullah, 34, dan Wan Harizahtul Nadia, 33.

Suaminya, Abu Bakar Mohd Amin meninggal dunia pada 2005 akibat kanser limfoma.

Anak kelahiran Kluang itu yang lahir pada 8 Disember 1960 merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Johor (2015-2018).

Gambar kenangan Hashim (depan, kiri) dan Sharifah Azizah (depan, kanan)
Gambar kenangan Hashim (depan, kiri) dan Sharifah Azizah (depan, kanan)

Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar mulai 2018 hingga 2022 lalu.

Sementara itu Hashim berkata, mereka sering menganjurkan program termasuk tempat asalnya di Kampung Bentong.

Katanya, antara projek yang dijalankan adalah projek tebatan banjir yang diperjuangkan bersama Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

“Kita berharap dan berdoa supaya projek tebatan banjir itu akan dapat direaliasasikan.

“Pelaksanaan projek berkenaan pasti akan menghilangkan rasa resah dalam kalangan penduduk kerana setiap kali hujan, kawasan di sini akan dinaiki air.

“Allahyarhamah merupakan individu yang sangat komited. Jika berlaku banjir, beliau sering mengharungi banjir untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Jenazah Allahyarhamah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah Kampung Tengah di sini jam 5.25 petang, Jumaat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!