PRK Nenggiri: BN fokus isu tempatan

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (duduk,dua,kiri) ketika sidang media selepas menghantar borang percalonan di Pusat Penamaan Calon bagi PRK DUN Nenggiri yang bertempat di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu. Foto Bernama
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (duduk,dua,kiri) ketika sidang media selepas menghantar borang percalonan di Pusat Penamaan Calon bagi PRK DUN Nenggiri yang bertempat di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Barisan Nasional (BN) akan memberi fokus kepada isu masyarakat setempat di Nenggiri dengan bantuan jentera Pakatan Harapan (PH), sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, jentera parti yang diselaras Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK berkenaan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, akan menyasarkan kesemua 20 pusat daerah mengundi (PDM) untuk menyantuni masyarakat setempat.

"Sama ada pengundi itu dari kampung tradisi, Orang Asli, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) atau Felda, kita akan lakukan sesuatu yang sangat terbaik pada (PRK) kali ini.

"... isu nasional jika ada pun akan diberi penjelasan oleh jentera parti di setiap peringkat,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini, pada Sabtu.

PRK berkenaan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awi bukan sahaja mewakili semua pengundi Nenggiri, malah membawa suara generasi muda di seluruh daerah Gua Musang.

"Kita tahu mereka di bawah umur 40 tahun merupakan majoriti pengundi di Nenggiri, jadi saudara Awi bukan hanya mewakili penduduk tetapi juga mewakili generasi muda," katanya.

Ahmad Zahid berkata, walaupun kemenangan BN tidak akan menggugat kedudukan kerajaan negeri Kelantan diterajui Pas, yang menang 43 daripada 45 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas, namun katanya PRK berkenaan sangat signifikan bagi BN dan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin pengundi Nenggiri cukup matang untuk membuat keputusan setelah melalui dua pilihan raya sebelum ini, itu Pilihan Raya Umum Ke-15 dan PRN.

"Saya fikir memandangkan ia tidak menjejaskan kerajaan negeri, eloklah Nenggiri ini diberikan kepada calon BN untuk meraih kemenangan," katanya secara berseloroh sambil meluahkan keyakinan penyokong BN akan terus memberi sokongan di bawah kepimpinan Tengku Razaleigh.

PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!