Dua lelaki dirempuh kereta ketika joging

Sebuah kereta hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh dua lelaki yang berjoging di laluan pejalan kaki.
Sebuah kereta hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh dua lelaki yang berjoging di laluan pejalan kaki.
A
A
A

ALOR SETAR – Dua lelaki yang sedang beriadah di Taman Rimba di sini cedera setelah dirempuh sebuah kereta yang terbabas selepas terlibat kemalangan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian pada jam 7.37 malam itu, dua kenderaan terlibat kemalangan di persimpangan jalan di kawasan Taman Rimba itu.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila salah sebuah kenderaan yang membelok ke kanan menuju ke arah Taman Golf dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah Wisma Darul Aman.

"Perlanggaran kedua-dua kenderaan itu menyebabkan salah sebuah daripadanya hilang kawalan dan terbabas, lalu merempuh dua lelaki yang berjoging di laluan pejalan kaki," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, akibat kejadian terbabit, kedua-dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun itu mengalami kecederaan luka di beberapa bahagian badan.

"Pemandu salah sebuah kenderaan terlibat yang berusia 79 tahun pula mengalami sakit pada bahagian dada dan luka lutut kiri, manakala seorang lagi pemandu kenderaan berusia 62 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar," ujarnya.

Siti Nor Salawati berkata, punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Kaedah 3(2)(b) Kaedah Lalulintas 1959.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis juga meminta kerjasama orang ramai terutama saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Muhammad Nizam Abdul Hamid di talian 047321222 atau 0104542459 bagi membantu siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!