Pengaruh Ku Li mampu tarik penyokong UMNO undi calon BN - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (empat dari kanan) selepas berakhir proses penamaan calon PRK Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid (empat dari kanan) selepas berakhir proses penamaan calon PRK Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini pada Sabtu.
A
A
A

GUA MUSANG - Dengan pengaruh yang dimiliki Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, penyokong UMNO diyakini akan kekal setia dan memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, 17 Ogos ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi kepimpinan Ku Li sebagai Ketua UMNO Gua Musang, DUN Nenggiri dijangka kekal sebagai kubu kuat BN.

"Insya-ALLAH di bawah kepimpinan Ku Li, kita yakin pendukung UMNO dan BN akan terus beri dukungan kepada calon yang telah di cadangkan oleh kepimpinan bahagian dan kepimpinan BN di pusat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhir proses penamaan calon PRK Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini pada Sabtu.

PRK DUN Nenggiri itu akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN dan PN yang memakai logo Pas.

Mohd Azmawi yang dipertaruhkan BN merupakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang manakala PN diwakili bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang yang kini menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Rizwadi Ismail.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan, beliau turut optimis BN akan merampas kembali kerusi Nenggiri kerana calon dipertaruhkan parti mereka memenuhi selera pengundi khususnya anak muda.

"Kita kerja dahulu dan tawakal kepada ALLAH. Terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian kerana memberi peluang kepada Awi (Azmawi). Beliau boleh mewakili kumpulan generasi muda.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu mereka berumur 40 tahun ke bawah merupakan majoriti pengundi di Nenggiri dan insya-ALLAH beliau bukan hanya mewakili pengundi Nenggiri tetapi turut mewakili generasi baharu di Gua Musang serta Kelantan keseluruhannya,” ujarnya.

Ahmad Zahid menambah, PRK tersebut bukan sahaja penting kepada penduduk Nenggiri dan Gua Musang sebaliknya menjadi signifikan kepada kekuatan kerjasama UMNO, BN serta rakan dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH).

"Tentunya PH akan bantu kita dalam setiap gerak kerja dan koordinasi yang dilakukan sebagaimana pilihan raya di tempat lain.

“Apa yang menjadi isu utama di Nenggiri ialah isu tempatan dan isu nasional (termasuk isu penyasaran subsidi diesel). Isu ini jika (dibangkitkan) ia akan dijelaskan oleh jentera parti di setiap peringkat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!