'Penyertaan calon Pas bukan strategi 'menang-menang', sebaliknya kompromi'

Siaran langsung program Interviu yang di platform digital Sinar Harian pada Sabtu.
Siaran langsung program Interviu yang di platform digital Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan calon ‘hibrid’, Mohd Rizwadi Ismail, 41, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan ketidakupayaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menawarkan ahli sendiri bukan strategi 'menang-menang', sebaliknya kompromi disebabkan tuntutan atau desakan daripada Pas.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zaharul Abdullah berkata, imej Bersatu dilihat seperti subordinat kepada Pas terutamanya di Kelantan dan Terengganu serta mungkin berlaku ketidakpuashatian dalam kalangan pemimpin parti berkenaan.

Bagaimanapun, strategi meletakkan Mohd Rizwadi mampu menarik perhatian pengundi termasuk jentera Pas memandangkan beliau memenuhi kriteria yang dapat diterima dan disenangi ramai.

“Saya fikir Pas sebagai satu komponen dalam Perikatan Nasional (PN) sudah pasti menghormati parti lain iaitu Bersatu.

“Kita tahu kerusi yang dimenangi penyandang Bersatu sebelum ini perlu diserahkan kembali kepada Bersatu, ia tindakan wajar dibuat oleh Pas.

“Cuma saya lihat mungkin Pas rasakan calon mereka lebih sesuai, ini merupakan satu kompromi antara Bersatu dan Pas sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian bertajuk ‘Nenggiri: Calon atau Parti?’ dihoskan oleh Haizir Othman pada Sabtu.

PRK DUN Nenggiri bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Rizwadi yang bertanding atas tiket Pas dengan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38 tahun.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari pengundian dan calon mempunyai 14 hari untuk mengadakan kempen mengikut jentera parti masing-masing.

Pilihan raya tersebut diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.

Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu, namun keahliannya dalam parti digugurkan pada 13 Jun lepas.

Sementara itu, Zaharul berpandangan, Bersatu mengakui dan menyedari hakikat bahawa Pas mendominasi negeri Pantai Timur terutamanya Kelantan serta Terengganu kerana majoriti pemilih adalah kaum Melayu.

Tambah beliau, perakuan terbabit penting untuk memastikan strategi pilihan raya tepat dan berjaya contohnya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Terengganu tahun lalu apabila Pas menyapu bersih 32 kerusi manakala Kelantan 43 serta Kedah pula 33 kerusi.

“Jadi, saya lihat strategi yang digunakan oleh PN berjaya, melihat kepada situasi setempat atau negeri dengan meletakkan logo Pas.

“Kalau di negeri Pantai Barat pula strateginya berbeza kerana mereka guna logo PN. Strategi ini berubah mengikut keadaan.

“Sudah semestinya Pas menghargai barisan kepimpinan nasional Bersatu. Saya lihat ia (strategi) berkesan serta ada hubungan timbal balas antara kedua-dua pihak,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!