SACC akan dinaik taraf jadi pusat pameran bertaraf dunia

Naik taraf pusat beli-belah SACC merupakan sebahagian perancangan pembangunan projek SA Sentral, Seksyen 14. Foto: Bernama.
Naik taraf pusat beli-belah SACC merupakan sebahagian perancangan pembangunan projek SA Sentral, Seksyen 14. Foto: Bernama.
A
A
A

Shah Alam – Pusat beli-belah SACC akan dinaik taraf menjadi sebuah pusat pameran bertaraf dunia bermula pada suku tahun pertama 2026.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja menaiktaraf dan pembangunan semula pusat beli-belah itu merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan projek SA Sentral di Seksyen 14.

Menurutnya, projek pembangunan SA Sentral yang akan dibangunkan secara berfasa itu dijangka mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan.

"Ia turut melibatkan beberapa plot di kawasan Seksyen 14 termasuk Pusat Konvensyen SACC serta menaiktaraf dan penjenamaan semula Plaza Alam Sentral (PAS) dan Plaza Perangsang.

"PKNS merancang untuk membangunkan SA Sentral bagi tujuan peremajaan pusat bandar Seksyen 14, Shah Alam sebagai daerah pusat perniagaan (CBD) di atas tanah seluas 64.7 hektar," menurut kenyataan itu.

Ujar kenyataan itu, SA Sentral akan menampilkan pembangunan kediaman, komersial, pejabat, taman rekreasi, perpustakaan, stesen LRT serta pusat pameran antarabangsa.

Malah katanya, SA Sentral akan turut mempunyai pusat kebudayaan dan pelancongan menerusi projek The Spine yang terletak di pusat bandar Seksyen 14.

"Ia bagi mewujudkan hub kebudayaan dan kesenian demi mengekalkan elemen warisan budaya Melayu selain pusat perniagaan setempat.

Artikel Berkaitan:

"The Spine bakal menghubungkan Kompleks PKNS Shah Alam, Pusat Konvensyen Shah Alam dan juga projek pembangunan yang akan datang seperti pangsapuri kediaman serta hotel," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, PKNS merancang untuk membangunkan SA Sentral sebagai sebahagian daripada inisiatif transformatifnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!