UMNO-BN ada peluang jika pandai ambil hati pengundi putih, Orang Asli - Penganalisis

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama calon BN, Mohd Azmawi Fikri (tengah) tiba di Pusat Penamaan Calon bagi PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu. Foto Bernama
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama calon BN, Mohd Azmawi Fikri (tengah) tiba di Pusat Penamaan Calon bagi PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO-Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan meraih undi ‘pengundi putih’ dan masyarakat Orang Asli iaitu seramai 2,700 pemilih.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zaharul Abdullah berkata, pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, Perikatan Nasional (PN) gagal meraih undi pengundi baharu sepenuhnya dan BN perlu memanfaatkan situasi tersebut kali ini.

“Kalau kita lihat angka atau keputusan PRN lepas, meskipun ada penambahan pengundi baharu sebanyak 5,000 orang di Nenggiri, ia tidak menjurus ke arah peningkatan undi PN, hanya 1,500 pengundi.

“Jadi, ada ruang besar yang perlu UMNO-BN manfaatkan untuk meraih undi pengundi baharu dan juga pengundi muda yang membentuk 60 peratus secara keseluruhannya.

“Undi juga perlu diraih dalam kalangan Orang Asli dan UMNO-BN kena pertahankan pengundi putih mereka sekitar 5,000 hingga 6,000 orang serta tarik semula mereka yang beralih sokongan kepada PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian bertajuk ‘Nenggiri: Calon atau Parti?’ dihoskan oleh Haizir Othman pada Sabtu.

PRK DUN Nenggiri bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang bertanding atas tiket Pas dengan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari pengundian dan calon mempunyai 14 hari untuk mengadakan kempen mengikut jentera parti masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Pilihan raya tersebut diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.

Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu, namun keahliannya dalam parti digugurkan pada 13 Jun lepas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!