BN siapkan jentera PRK Mahkota selepas SPR umum tarikh mengundi

Ahmad Zahid. Foto Bernama
Ahmad Zahid. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Barisan Nasional (BN) akan menyiapkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka akan bersiap siaga selepas tarikh-tarikh penting PRK Mahkota diketahui.

"Insya-ALLAH kita akan dengar pengumuman dibuat selepas SPR membuat mesyuarat.

"Kita akan siap siaga selepas Nenggiri untuk hadapi PRK Mahkota pula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhir proses penamaan calon PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, pada Jumaat.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor merangkap Ketua Wanita UMNO Kluang itu sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HEBHK akibat pendarahan dalaman.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut berkesempatan menziarahi Allahyarham Sharifah Azizah sebelum beliau menghembuskan nafas akhir pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pihak UMNO dan BN kita ucap takziah kepada keluarga arwah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!