3,840 belia di Terengganu hidap darah tinggi
KUALA NERUS - Sebanyak 12 peratus iatu 3,840 golongan belia daripada 32,000 orang yang disaring menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) pada tahun lepas di Terengganu menghidap penyakit darah tinggi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, lebih membimbangkan apabila golongan tersebut tidak menyedari mereka menghidap penyakit berkenaan.
"Kita telah saring sebanyak 32,000 rakyat di Terengganu pada tahun 2023. Daripada jumlah itu didapati sebanyak 16 peratus mengalami penyakit darah tinggi yang tidak didiagnos manakala 12 peratus pula dikesan melibatkan golongan belia.
"Mereka ini tidak tahu pun mempunyai penyakit darah tinggi tetapi setelah datang menjalani saringan barulah dapat kesan penyakit itu.
"Inilah sebenarnya amat merisaukan kita kerana individu tersebut tidak tahu bahawa dia hidap penyakit berkenaan," katanya ketika sidang akhbar selepas Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.
Beliau menyeru rakyat Terengganu tampil untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan supaya dapat mengesan lebih awal tentang penyakit dihidapi.
"Ramai kalangan masyarakat mengalami kematian di usia muda dan tiba-tiba jatuh pengsan.
"Pada ketika itu barulah dapat mengetahui bahawa mereka ini sebenarnya ada darah tinggi, pendarahan dan sebagainya.
"Jadi jalanlah pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan supaya dapat mengesan penyakit lebih awal," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Kasemani menyatakan golongan yang berisiko menghidap penyakit darah tinggi merupakan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.
"Mereka berusia 20 hingga 40 tahun ini selalu merasakan bahawa umur mereka masih muda dan beranggapan tidak perlu jalani pemeriksaan kesihatan.
"Ini sepatutnya tidak berlaku dan kita minta datanglah secara ramai buat saringan supaya dapat mengesan tentang penyakit mereka yang dihadapi sebelum terlambat," jelas beliau.
Dalam pada itu, Dr Kasemani memaklumkan dalam kalangan pesakit diabetes pula, sebanyak 97 peratus daripada 39,000 pesakit aktif mempunyai penyakit darah tinggi.
Katanya, hanya 37 peratus mempunyai tekanan darah yang terkawal.
"Seramai 12 peratus tidak mengetahui bahawa mereka menghidap darah tinggi dan paling ramai adalah melibatkan golongan belia," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!