[VIDEO] PRK Nenggiri: Gerakan turun padang beri sokongan, bantu kempen
GUA MUSANG - Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau berkata, pihaknya turun padang dan berkempen untuk memberikan kemenangan kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberikan sokongan walaupun peratusan pengundi Cina dan India tidak banyak di sini.
"Saya dimaklumkan hanya sekitar 0.2 peratus pengundi Cina di DUN Nenggiri. Walaupun begitu, satu undi pun kita tidak akan lepaskan.
"Kita akan pastikan kemenangan pada calon PN," katanya yang turut hadir pada hari penamaan calon PRK DUN Nenggiri di Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini pada Sabtu.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PN iaitu Mohd Rizwadi Ismail dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38.
Dominic memberitahu, pihaknya telah memberi arahan kepada ahli Gerakan di Kelantan untuk sama-sama turun berkempen.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd Azizi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!