Teroka sejarah bersama Eksplorasi Merdeka Rapid KL
KUALA LUMPUR – Rapid KL akan membawa peserta mengimbau kembali sejarah kemerdekaan negara menerusi Eksplorasi Merdeka Rapid KL 3.0 (EMRKL 3.0).
Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, program akan diselitkan imbasan Rapid KL sejak awal pembukaannya yang juga menjadi tulang belakang dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial khususnya di Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan itu, penganjuran EMRKL 3.0 lebih bermakna kerana sambutan Bulan Kemerdekaan selain meraikan ulang tahun Rapid KL yang ke-20.
"Pelbagai evolusi telah dilaksanakan Rapid KL sepanjang dua dekad dalam mentransformasikan pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
"EMRKL 3.0 akan diadakan pada 24 Ogos ini di Dataran Muzium Negara, bakal mengetengahkan aktiviti sukan dan budaya disepanjang jajaran rel dan bas Rapid KL," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Ujar kenyataan itu, peserta berpeluang meneroka sejarah dan mempelajari budaya melalui pameran, kuiz, dan aktiviti interaktif.
Katanya, Dataran Muzium Negara dipilih sebagai lokasi pelepasan peserta pada tahun ini bagi mempromosikan tempat-tempat mercu tanda Kuala Lumpur kepada generasi muda.
"Banyak lokasi bersejarah dan menarik di pusat bandar yang boleh diakses menerusi pengangkutan awam.
"Hadiah berupa wang tunai bakal menanti pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga, " katanya.
Selain itu katanya, peserta juga bakal berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bagi cabutan bertuah.
Maklumat lanjut dan borang pendaftaran boleh didapati di laman sesawang https://myrapid.com.my/emrkl3.
Rapid KL menyarankan peserta yang berminat untuk mendaftar kerana penyertaan adalah terhad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!