Hentikan amalan beri 'ufti' dalam perkhidmatan awam

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar ketika ditemuramah di Menara KPJ baru-baru ini. - Foto Bernama
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar ketika ditemuramah di Menara KPJ baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemberian hadiah, keraian atau tajaan dalam program di perkhidmatan awam yang dianggap amalan hormat serta tanda penghargaan, dikhuatiri membuka ruang kepada tabiat memberi dan menerima rasuah sekiranya terus dibiarkan.

Ufti merupakan amalan pada zaman dahulu, merujuk kepada pekerja bawahan yang mengeluarkan sumbangan termasuk berbentuk bayaran wang, emas atau hadiah kepada pegawai lebih tinggi kedudukannya sebagai tanda menghormati, mengiktiraf kekuatan dan meminta perlindungan.

Meskipun sudah dalam era moden, amalan yang tak lapuk dek zaman itu didakwa masih berlaku dalam perkhidmatan awam, contohnya, majlis makan mewah dijadikan budaya menyambut tetamu yang turun padang, untuk melawat projek.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, budaya menyambut program turun padang ketua jabatan atau pihak atasan dengan jamuan mewah, pemberian hadiah atau menjalankan acara lain untuk meraikan harus dibuat secara telus, dikurangkan atau lebih baik dihentikan.

Beliau mendedahkan terdapat aduan apabila kakitangan terpaksa menyediakan peruntukan untuk menyambut 'tetamu' yang turun padang contohnya jamuan makan malam, bermain golf dan lain-lain.

"Kalau tak ada peruntukan (maka) terpaksa minta penajaan. Kadang-kadang mungkin senang dapat penajaan, kadang-kadang susah atau terpaksa jumpa aktiviti underground untuk menyumbang sebab 'bos' nak datang (kena) sediakan makan malam, hadiah yang besar mengikut gred," katanya kepada Bernama di dalam satu temubual eksklusif baru-baru ini.

Ismail berkata, amalan meraikan ketua jabatan sempena program turun padang dengan pemberian hadiah, jamuan mewah harus dihentikan termasuk menggunakan sumbangan dari kakitangan khususnya yang bergaji rendah.

"Lawatan turun padang itu bagus tapi meraikan ketua jabatan sempena turun padang dengan jamuan mewah dan guna sumbangan pegawai-pegawai. Tidak ada sesiapa yang ambil berat mengenainya yang akan menjurus kepada satu budaya turun-temurun yang tidak elok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail berkata, lebih menyedihkan dan membebankan apabila kakitangan terpaksa menyediakan sumbangan untuk majlis perpisahan atau kenduri kahwin melibatkan pihak atasan.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan anak buah terpaksa meminta 'kutipan' daripada sumber luar yang mempunyai urusan dengan jabatan atau agensi untuk tajaan meja, khemah dan lain-lain.

"Bos buat jamuan jemput semua (anak buah) tapi kalau terlampau kerap, rasa beban. Tidak cukup bagi makan, minta tolong kakitangan buat kutipan. Kalau tak ada buat (pegawai) mana yang ada kuasa dia akan minta mungkin sediakan tempat sewa, meja dan makan.

"Lepas dah kenyang nak nyanyi. Siapa bayar tempat itu dan ada lesen atau tidak? Lesen operasi sepatutnya sampai 12 tengah malam, tetapi masih dibuka sehingga 1 pagi.

"Sepatutnya kita dah maju ini dah 2024, tak perlu ada-ada itu (ufti). Kadang-kadang terpaksa beri hadiah yang tak sepatutnya. Kalau perkara ini tak dipandang serius di situ berlaku unsur pelanggaran integriti," katanya.

Oleh itu, Ismail berkata, penjawat awam harus menggelakkan amalan itu dan patuh kepada Polisi Tiada Hadiah terutama ketua jabatan kena berwaspada, adakah hadiah itu akan memberi kesan menyukarkan mereka melaksanakan peraturan jabatan disebabkan hadiah tersebut.

"Kita dah ada Polisi Tiada Hadiah, laksanakan sahaja. Benda yang samar-samar datangkan banyak fitnah lebih baik dijauhkan. Itu kalau serius untuk tingkat integriti," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!