PRK Nenggiri: Sentimen ‘Melayu Islam’ mendominasi berbanding isu pembangunan

Sentimen ‘Melayu Islam’ mendominasi berbanding isu pembangunan di PRK DUN Nenggiri. Gambar hiasan (Gambar kecil: Zaharul)
Sentimen ‘Melayu Islam’ mendominasi berbanding isu pembangunan di PRK DUN Nenggiri. Gambar hiasan (Gambar kecil: Zaharul)
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri oleh kerajaan dilihat kurang memberikan kesan kepada pengundi memandangkan sentimen ‘Melayu Islam’ lebih mendominasi terutama dalam kalangan kaum Melayu di pantai timur.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zaharul Abdullah berkata, bagaimanapun dalam konteks sokongan daripada Orang Asli, isu pembangunan merupakan satu aspek yang perlu diberi perhatian khusus oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana katanya, terdapat beberapa isu melibatkan etnik tersebut terutama di Gua Musang seperti masalah tanah atau pembalakan yang tidak ditangani secara serius oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Pas.

“UMNO-BN perlu memanfaatkan perkara ini sebaik mungkin kerana ini ruang dan peluang yang boleh digunakan untuk menarik sokongan mereka.

“Isu pembangunan ini penting bagi Orang Asli kerana banyak kekurangannya dan ia boleh memberi dampak kepada kira-kira 2,700 pengundi terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian bertajuk ‘Nenggiri: Calon atau Parti?’ dihoskan oleh Haizir Othman pada Sabtu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa pihaknya akan memfokuskan isu pembangunan dan masyarakat setempat sekiranya mandat kemenangan diberikan kepada BN.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PN, Mohd Rizwadi Ismail, 41, dengan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari pengundian dan calon mempunyai 14 hari untuk mengadakan kempen mengikut jentera parti masing-masing.

Pilihan raya tersebut diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.

Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun keahliannya dalam parti digugurkan pada 13 Jun lepas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!