Jelajah ANMS inisiatif lahirkan rakyat sihat fizikal, mental

Tengku Farok Hussin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
Tengku Farok Hussin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERUS - Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini berjaya menarik penyertaan lebih 6,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, fokus utama program berkenaan adalah melahirkan rakyat yang sihat dari segi fizikal dan mental serta hidup dalam persekitaran yang bersih.

"Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta tetapi turut menyebarkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental.

"Selain itu, saya berharap inisiatif ini akan terus memacu usaha untuk memupuk gaya hidup sihat di kalangan masyarakat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.

Turut hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong.

Tengku Farok Hussin ketika berucap berkata, kejayaan program itu tidak hanya terletak pada jumlah peserta tetapi juga terhadap impak positif yang dibawa oleh pelbagai aktiviti dan inisiatif kesihatan telah dilaksanakan.

Beliau menambah aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, sesi ceramah kesihatan, bengkel pengurusan stres dan pertandingan kecergasan.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai usaha untuk memastikan rakyat Terengganu sentiasa sihat sepanjang hayat, kita memerlukan akses kepada kemudahan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif.

"Sebagai contoh, JKNT menyediakan satu infrastruktur Wellness Hub Terengganu yang menyediakan perkhidmatan promosi kesihatan (One Stop Community Centre) dalam menggalakkan komuniti mengamalkan cara hidup sihat bagi mencapai kesejahteraan hidup,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Farok Hussin menyatakan program itu turut melibatkan 20 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, serta sektor swasta yang menyertai melalui pameran dan aktiviti kesihatan.

"Saya turut memberi penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam menjayakan acara ini, yang jelas menunjukkan komitmen bersama dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!