Durian percuma licin dalam tempoh tiga jam
SEREMBAN - Sebanyak 2.6 tan durian premium percuma habis dalam tempoh tiga jam selepas diserbu orang ramai pada Pesta Durian anjuran Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) di Bayu Sutera Galleria di sini pada Sabtu.
Meskipun pesta berkenaan dibuka jam 11 pagi, namun seawal jam 10 pagi orang ramai sudah pun mula beratur untuk merasai raja buah berkenaan.
Antara durian yang disediakan ialah musang king, D24, IOI dan teka.
Ketua Pegawai Pemasarannya, Lim Kok Yee berkata, kira-kira 2,000 pengunjung yang hadir iaitu melebihi daripada jangkaan.
"Kali terakhir kita adakan program ini pada tahun 2019 dan ia bertujuan menghargai orang ramai yang sentiasa menyokong kami sekali gus ruang untuk dekat dengan komuniti.
"Mereka yang datang bukan saja dari Negeri Sembilan, tapi juga ada yang dari Selangor," katanya pada Sabtu.
Menurutnya, selain durian, buah-buahan tempatan lain turut disediakan seperti rambutan, manggis dan tembikai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!