Sukma 2024: Premier beri bayangan insentif atlet Sarawak lebih 'baik'
Beliau berkata, berita baik itu akan diumumkan selepas mengadakan mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.
"Saya tak mahu sebut sekarang, kita buat kemudian...kalau tidak setara mungkin lebih baik (merujuk kepada insentif yang diumumkan oleh negeri lain).
"Kita harap atlet Sarawak mampu memberikan yang terbaik, boleh menjadi juara dan mendapat pungutan pingat emas terbanyak,” katanya selepas majlis penyerahan bendera negeri kepada ketua kontinjen SUKMA Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu di sini hari ini.
Abang Johari berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri majlis penutupan SUKMA 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak pada 24 Ogos.
"Penganjuran SUKMA 2024 adalah sebagai persediaan jika Sarawak menjadi penganjur bersama Sukan SEA pada 2027. Kita sanggup menjadikan penganjur bersama untuk mengendalikan sukan bertaraf antarabangsa ini,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilaporkan berkata anggaran kos keseluruhan penganjuran Sukan SEA adalah RM700 juta dengan beberapa kerajaan negeri sudah menyatakan kesudian untuk bekerjasama termasuk Sarawak yang bersetuju memperuntukkan RM350 juta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!